Khidmat rundingan percuma e-BizClinic Insken bantu usahawan | DagangNews Skip to main content

Khidmat rundingan percuma e-BizClinic Insken bantu usahawan

Antara program dianjurkan Insken bagi membantu usahawan ketika berdepan pandemik COVID-19.

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) melalui program e-BizClinic menyasarkan untuk membantu lebih ramai usahawan terutama ketika berdepan situasi mencabar ketika ini akibat pandemik COVID-19.

 

Bermula pada 2020 dan sehingga hari ini, seramai 1,835 usahawan telah mendaftar serta menerima konsultasi percuma secara atas talian melalui sesi e-BizClinic. 

 

Lebih menarik, program tersebut menyediakan inisiatif khidmat rundingan secara percuma yang diberikan oleh BisKaunselor Insken kepada usahawan untuk membantu, memperbaiki dan menambahbaik perniagaan. 

 

Keistimewaan inisiatif ini, usahawan akan dibimbing secara 'one-to-one' menerusi sesi dalam talian dengan menggunakan platform bersesuaian yang boleh diakses oleh kedua-dua pihak seperti Google Meet, Zoom dan WhatsApp Video Call. 

 

Selain itu, BisKaunselor juga akan memberikan panduan dan cadangan penyelesaian untuk masalah yang dihadapi selain memberi pendedahan dan maklumat mengenai bantuan perniagaan yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu usahawan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, usahawan perlu sentiasa merebut peluang serta inisiatif yang disediakan kerajaan dan agensi khususnya dalam kategori pembangunan usahawan. 

 

"Mereka juga dinasihatkan berusaha ke arah penyenaraian syarikat masing-masing dan mendapatkan khidmat rundingan agar dapat dibimbing dalam mencapai objektif tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sesi konsultasi yang fleksibel ini dilaksanakan minimum selama 20 minit tanpa penetapan had masa untuk usahawan berbincang mengenai masalah yang dihadapi. 

 

Usahawan digalakkan untuk mendapatkan maklumat dan bersoal jawab sebanyak yang mungkin agar matlamat mereka tercapai khususnya dalam memperbaiki dan memperkukuhkan perniagaan. - DagangNews.com