Kia Motors kongsi 7 lakaran awal kenderaan baharu BEV | DagangNews Skip to main content

Kia Motors kongsi 7 lakaran awal kenderaan baharu BEV

Kia Motors Corporation

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia, Ho Sung Song semasa menunjukkan lakaran awal BEV di kilang Hwasung, Korea.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Kia Motors Corporation berkongsi strategi perniagaan kenderaan elektrik (EV) syarikatnya dengan membuat perkongsian beberapa lakaran awal kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) baharu yang bakal dilancarkan nanti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia, Ho Sung Song berkata, kenderaan itu akan dilancarkan dengan pelbagai jenis BEV hasil kerjasama dengan syarikat pengecasan EV di seluruh dunia.

"Kia telah menjual lebih daripada 100,000 BEV di seluruh dunia sejak pengenalan BEV pertama pada 2011 iaitu Kia Ray EV.

"Sejak itu, kami mula memperkenalkan rangkaian BEV baharu untuk pasaran global selain mempunyai rancangan untuk mempercepat proses ini pada tahun akan datang," jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Kia turut menyasarkan jualan yang tinggi melalui kenderaan BEV menjelang tahun 2029.

Di bawah strategi Plan S yang diumumkan pada awal 2020, pihaknya merancang untuk memperluas rangkaian BEV kepada 11 model menjelang tahun 2025.

"Kami akan terus mengekalkan kedudukan kami sebagai pengeluar pasaran EV untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat.

"Kami sasarkan BEV dapat menyumbang kira-kira 25% dalam keseluruhan jualan kami di seluruh dunia pada 2029.

"Bagi sasaran 2025 pula, Kia mengharapkan kenderaan BEV dapat menyumbang sebanyak 20% jualan di pasaran negara maju termasuk Korea, Amerika Utara dan Eropah," jelasnya lagi.

Tujuh lakaran awal BEV yang didedahkan itu akan dilancarkan pada 2027.

Model BEV pertama daripada tujuh lakaran itu dicipta dengan kod CV yang akan dilancarkan pada 2021 di seluruh dunia.

Model baharu itu akan menawarkan kualiti produk yang kompetitif dengan reka bentuk menarik seperti kenderaan Kia lain. - DagangNews.com