Kilang elektronik RM100 juta yang bakal dibina MRCB di Perlis boleh jana pendapatan berulang selama 15 tahun – HLIB | DagangNews Skip to main content

Kilang elektronik RM100 juta yang bakal dibina MRCB di Perlis boleh jana pendapatan berulang selama 15 tahun – HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai - Rancangan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) untuk membina sebuah kilang elektronik di Perlis dijangka membawa pendapatan berulang untuk sekurang-kurangnya 15 tahun, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Kilang elektronik yang bakal dibina di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Perlis itu menelan kos pembangunan RM100 juta.

 

Projek itu adalah jenis reka bentuk, binaan dan pajakan yang melibatkan pemajak Fortune 500 AS dan dijangka siap pada September 2024.

 

Dengan andaian hasil 6% sehingga 8%, pendapatan pajakan mungkin dalam lingkungan RM6 juta hingga 8 juta setahun, kata HLIB dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan tempoh pajakan itu sekurang-kurangnya 15 tahun dengan syarat pembangunan itu dibina mengikut kesesuaian.

 

"Namun, berdasarkan butiran yang terhad, kami tidak menjangkakan kesan material terhadap ramalan pendapatan kami daripada perkembangan ini secara berasingan," katanya.

 

HLIB berkata syarikat itu juga sedang mengusahakan projek lain dengan campuran model seperti penjualan tanah tulen, penjualan tanah dengan infrastruktur, pajakan dengan infrastruktur dan bangunan dan penjualan dengan infrastruktur dan bangunan.

 

Menurut firma itu, CVIA merupakan projek nasional berimpak tinggi seluas 1004.43 hektar bertujuan untuk mengubah Perlis kepada negeri berpendapatan tinggi dan perindustrian menjelang 2030.

 

HLIB mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran 34 sen sesaham.

 

Pada waktu penulisan, saham MRCB telah menokok 1.5 sen atau 4.2%, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM1.65 blion. - DagangNews.com