Kilang Hup Seng kembali ditutup sementara, pengeluaran dijangka rugi 3% | DagangNews Skip to main content

Kilang Hup Seng kembali ditutup sementara, pengeluaran dijangka rugi 3%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Operasi Hup Seng Perusahaan Makanan (M) Sdn Bhd (HSPM), anak syarikat milik penuh kepada Hup Seng Industries Berhad kembali ditutup sementara sehingga 30 September 2021 bagi tujuan membasmi kuman di seluruh premis berkenaan. 

 

Ini selepas kumpulan menerima notis daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bertarikh 19 September 2021 bagi penggantungan sementara operasi anak syarikatnya yang terletak di Kawasan Perindustrian Tongkang Pecah, Johor.

 

Menurut makluman Hup Seng di Bursa Malaysia, penutupan operasi itu dijangka mendatangkan kerugian kepada jumlah pengeluaran sekitar 3% daripada jumlah pengeluaran tahunan kumpulan. 

 

“Kelewatan dalam penghantaran barangan kepada pelanggan tempatan dan eksport dijangka berlaku dan pihak pengurusan buat masa ini dalam perbincangan dengan pelanggan untuk menjadualkan semula penghantaran tempahan tersebut. 

 

“HSPM sedang memberi kerjasama dan bekerja rapat dengan KKM selain mengambil langkah pencegahan bagi mengekang penularan COVID-19 di premis untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan pekerja kami,” jelas Hup Seng.

 

Kumpulan bagaimanapun tidak mampu menentukan impak penutupan sementara itu ke atas prestasi kewangannya, buat masa ini.

 

Pada 6 September lalu, Hup Seng memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa operasi HSPM ditutup sementara pada 5 September hingga 11 September bagi tujuan sama. 

 

Namun, HSPM kembali menjalankan operasi pada 12 September.

 

Setakat 2.11 petang, harga saham Hup Seng tidak berubah pada kadar 94.5 sen dengan 608 jumlah saham didagangkan. - DagangNews.com