Kilang Panasonic Shah Alam tutup 3 hari, 116 pekerja positif COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Kilang Panasonic Shah Alam tutup 3 hari, 116 pekerja positif COVID-19

Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad (Panasonic)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Seramai 116 pekerja syarikat Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd. (Panasonic) di kedua-dua kilang Shah Alam disahkan positif wabak COVID-19.

 

Kesemua pekerja yang terlibat didapati positif hasil ujian dan pemeriksaan yang dijalankan syarikat berkenaan baru-baru ini.

 

Menurut makluman Panasonic di Bursa Malaysia, syarikat berkenaan dinasihatkan untuk menghentikan operasi buat sementara waktu hingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

 

"Syarikat telah memutuskan untuk menutup kilang bermula 21 hingga 23 Disember 2020 bagi membolehkan pihak pakar pembasmian kuman melakukan tugasan," jelas Panasonic.

 

Mengulas lanjut, Panasonic memaklumkan pihaknya telah melakukan pemeriksaan penuh terhadap 2,137 pekerja.

 

Daripada jumlah berkenaan, hanya 116 pekerja yang disahkan positif.

 

Bagaimanapun, Panasonic memberi jaminan akan terus mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan secara ketat.

 

"Keselamatan dan kesejahteraan pekerja serta komuniti adalah keutamaan kami dalam keadaan ini.

 

"Syarikat akan terus mematuhi porsedur operasi standard (SOP) COVID-19 dengan ketat," ujar syarikat itu lagi.

 

Langkah keselamatan seperti pembasmian kuman di premis dan tempat tinggal pekerja juga telah dilakukan secara berkala dengan langkah pencegahan yang disarankan. - DagangNews.com