Kilang selenggara jentera disita cemarkan Sungai Selangor | DagangNews Skip to main content

Kilang selenggara jentera disita cemarkan Sungai Selangor

Hee Loy Sian. Gambar oleh Selangor Kini

Hee Loy Sian meninjau kawasan kilang penyelenggaraan jentera berat semalam. Gambar oleh Selangor Kini

 

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Sebuah kilang yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jentera dan mesin disita kerana dipercayai menjadi punca kepada pencemaran air Sungai Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata, kilang berkenaan gagal menguruskan sisa buangan dengan sebaik mungkin hingga menyebabkan pencemaran bau kepada air.

"Siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati kilang itu gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat yang ditetapkan selain menemui bau seakan-akan pelarut mengalir ke sungai.

"Kita arahkan kilang ini ditutup sementara bagi menunggu keputusan siasatan selain pemantauan rapi semasa ke semasa akan terus dilakukan LUAS bersama agensi lain bagi memastikan pencemaran bau dapat dikawal segera," katanya seperti dipetik Selangor Kini.

Sejak semalam, tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami masalah gangguan bekalan air tidak berjadual hingga mengakibatkan empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas.

Tambah Sian, pihaknya kesal dengan sikap, kesedaran dan tanggungjawab pengusaha kilang yang masih berada pada tahap rendah.

"Kilang tersebut juga pernah dikompaun RM60,000 sebelum ini atas kesalahan sama, tetapi masih mengulangi perkara tersebut," ujarnya lagi.

Isu sama turut mendapat perhatian dan maklum balas orang ramai di media sosial dengan cadangan hukuman yang lebih berat kepada pesalah.

Pemilik akaun Twitter @Ahsoonkor dalam ciapannya memberitahu, masalah sama terus berulang kerana tiadanya hukuman yang setimpal kepada pesalah.

Respon orang ramai melalui ciapan di laman Twitter.
Antara respon orang ramai melalui ciapan di laman Twitter.

 

"Sekiranya pesalah didenda sebanyak RM1 juta atau penjara selama 10 tahun, berapa ramai lagi pemilik kilang berani melakukan jenayah berkenaan? Atau batalkan lesen perniagaan mereka," cadangnya dalam satu ciapan semalam.

Dalam masa yang sama, beberapa ciapan lain di Twitter meluahkan kekesalan terhadap pengurusan Air Selangor kerana gagal memberi maklumat jelas berkaitan masalah air yang berlaku.

Jelas mereka, pihak Air Selangor tidak memaklumkan tempoh sebenar gangguan tersebut akan berpanjangan.

Ada antara mereka juga mendakwa berada dalam keadaan risau kerana tidak mengetahui gangguan Fasa yang terlibat. - DagangNews.com