Kilang semikonduktor Infineon tercanggih di Kulim siap menjelang suku ketiga 2024  | DagangNews Skip to main content

Kilang semikonduktor Infineon tercanggih di Kulim siap menjelang suku ketiga 2024 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika menghadiri sidang akhbar selepas majlis peletakan batu asas pembinaan kemudahan fabrikasi wafer Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd. di Kulim, hari ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kemudahan modul fabrikasi wafer tercanggih yang dibangunkan Infineon Technologies AG di Kulim, dengan melibatkan pelaburan lebih RM8 bilion dijangka siap pada suku ketiga 2024. 

 

Pembinaan modul ketiga itu akan menambah kapasiti pembuatan dalam semikonduktor dengan ketara, terutamanya teknologi jurang jalur lebar berdasarkan silikon karbida dan galium nitrida. 

 

Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG, Dr. Rutger Wijburg berkata, Malaysia merupakan hab penting kepada Infineon kerana skala ekonomi sedia ada dalam pembuatan fabrikasi wafernya di Kulim dan pembuatan cip di Melaka.

 

"Apabila dilengkapi sepenuhnya, produk daripada modul baharu itu akan menjana pendapatan tahunan tambahan sebanyak 2 bilion euro," katanya dalam kenyataan hari ini sempena peletakan batu asas pembinaan modul tersebut di Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd.

 

Perasmian majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bersama Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Infineon Technologies Kulim, Ng Kok Tiong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian.

 

TERKINI OGOS 2023: Infineon komited melabur sehingga RM24.9 bilion dalam tempoh 5 tahun bagi membina kilang semikonduktor terbesar di Kulim

 

Sementara itu Bee Vian menyifatkan Malaysia bertuah kerana mempunyai rakan kongsi industri jangka panjang dan komited termasuk Infineon, yang telah memainkan peranan penting untuk membawa pertumbuhan dalam industri semikonduktor Malaysia.

 

Tambahan pula, katanya kemudahan modul ketiga Infineon itu akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

 

"Matlamat kami adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu rakan kongsi utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global. 

 

"Mempunyai rakan kongsi global yang berfikiran sama seperti Infineon akan mengukuhkan kedudukan kami dalam rantaian nilai global dan matlamat kami untuk menjadi pangkalan pembuatan termaju di rantau ini yang dipacu inovasi," katanya. - DagangNews.com