Kim Loong sasar tanam semula sawit seluas 1,000 hektar pada FY24 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Kim Loong sasar tanam semula sawit seluas 1,000 hektar pada FY24 - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Okt - Kim Loong Resources Bhd. menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar sebanyak 10% bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23). 

 

Pengeluaran yang lebih kukuh pada musim pengeluaran puncak September hingga November dijangka dapat mengimbangi pengeluaran buah tandan segar yang tidak berubah sepanjang tujuh bulan bagi tahun kewangan tersebut.

 

Namun, AmInvestment Bank Research menyifatkan pertumbuhan 6% pengeluaran buah tandan segar pada FY23 adalah lebih konservatif. 

 

Menurutnya, kumpulan dijangka melaksanakan tanaman semula kira-kira 1,000 hektar bagi pokok kelapa sawit yang sudah berusia pada FY24.

 

"Kos tanam semula dijangka sekitar RM15,000 hingga RM18,000 sehektar. Tetapi, tanaman semula ini dijangka minimum pada FY23 berikutan harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi pada separuh pertama," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022, untung bersih Kim Loong meningkat 37.4% kepada RM49.67 juta daripada RM36.15 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 40.8% kepada RM564.37 juta daripada RM400.83 juta dipacu pengeluaran buah tandan segar dan harga jualan purata minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

 

Ini menyaksikan untung bersihnya bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Julai 2022 meningkat 37.8% kepada RM88.89 juta berbanding RM64.53 juta dengan pendapatan meningkat 50.6% kepada RM1.07 bilion.

 

Menurut AmInvestment, Kim Loong menjangkakan loji biogas dengan kapasiti 2MW di Keningau, Sabah akan mula beroperasi pada suku keempat FY23 dengan memperoleh keuntungan bersih dianggar sekitar RM3 juta setahun.

 

"Kami jangkakan ketiga-tiga loji biogas kumpulan di Kota Tinggi, Johor dan Keningau dan Telupid di Sabah akan menjana keuntungan bersih antara 5% hingga 10% pada FY24," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Kim Loong dengan nilai wajar tidak berubah pada RM1.65 sesaham. 

 

Setakat 11.17 pagi ini, harga sahamnya menokok 2 sen atau 1.16% kepada RM1.75 dengan 1,500 saham diniagakan. - DagangNews.com