Kimlun ada ruang tambah nilai kontrak, penganalisis kekal saranan 'outperform' | DagangNews Skip to main content

Kimlun ada ruang tambah nilai kontrak, penganalisis kekal saranan 'outperform'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Kimlun Corp. Bhd. dijangka mendapat manfaat melalui pelbagai projek infrastruktur yang dibangunkan kerajaan sekali gus meningkatkan nilai projek kumpulan, menurut Kenanga Investment Bank Research.

 

Antaranya, termasuklah projek Pan Borneo Sarawak fasa kedua, Rapid Transit System (RTS), Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Kuching, Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (BRT) dan Lebuhraya Central Spine Road (CSR). 

 

"Setakat ini, Kimlun telah menambah nilai projek kira-kira RM90 juta menerusi kontrak pembinaan, RM20 juta dan pembuatan, RM70 juta, berbanding sasaran kami sebanyak RM600 juta.

 

"Namun, buat masa ini, kami mengekalkan unjuran kami memandangkan terdapat prospek penambahan kontrak menerusi projek-projek yang dirancang kerajaan di Sarawak, Johor dan Singapura," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu percaya kumpulan berupaya meningkatkan produktivitinya pada suku keempat ini apabila semua pekerja menerima vaksin lengkap. 

 

Buat masa ini, sebanyak 85% daripada tenaga kerjanya sudah divaksinkan sepenuhnya. 

 

Untung bersih teras bagi Kimlun susut 74% pada suku kedua berakhir 30 Jun kepada RM2.3 juta disebabkan kelemahan segmen pembinaan dan pembuatan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). 

 

Bagi separuh pertama, untung bersihnya meningkat kepada kepada RM11.4 juta berbanding RM2.9 juta kerugian bersih memandangkan impak PKP yang kurang teruk berbanding tahun sebelumnya. 

 

Secara keseluruhan, Kenanga mengekalkan saranan 'outperform' ke atas saham Kimlun dengan harga sasaran pada RM1.15. 

 

Ini berikutan prospek cerahnya untuk merebut peluang dalam projek MRT3 menerusi pembekalan segmen lapisan terowong (TLS) dan segmental box girders (SBG) serta kerancakan aktiviti pembinaan di Singapura. - DagangNews.com