Kira-kira 8.85% usahawan gulung tikar pada April 2020 akibat COVID-19, kenaikan harga barang | DagangNews Skip to main content

Kira-kira 8.85% usahawan gulung tikar pada April 2020 akibat COVID-19, kenaikan harga barang

KUALA LUMPUR 23 Nov - Kira-kira 8.85% usahawan gulung tikar pada April 2020 akibat pandemik COVID-19 dan terkesan akibat kenaikan harga barangan.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, berdasarkan data kaji selidik yang dilaksanakan kementeriannya bagi tempoh 2020 hingga 2022, kesan pandemik dan kenaikan harga barangan menyebabkan sebilangan kecil usahawan terpaksa menutup terus operasi perniagaan mereka.

 

Katanya, kaji selidik itu turut menyatakan 3.16% usahawan gulung tikar pada Jun 2021, diikuti 1.38% pada Februari 2022 dan 2.7% pada November 2022.

 

"Dalam usaha membantu usahawan yang terjejas, kementerian ini menerusi agensi di bawahnya melaksanakan beberapa inisiatif bagi memulihkan semula perniagaan dengan menyediakan bantuan pinjaman kewangan antaranya skim pembiayaan di bawah Tekun Nasional dan Skim Pembiayaan Ikhtiar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

 

"Agensi pembiaya di bawah KUSKOP juga mempermudahkan proses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan dan memendekkan tempoh masa memproses permohonan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta kementerian menyatakan jumlah usahawan yang gulung tikar susulan kelembapan ekonomi semasa dan usaha yang dilaksanakan untuk membantu usahawan terjejas.

 

Selain itu, Ewon berkata, KUSKOP dan agensi di bawahnya bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pelaksanaan program intervensi peluang kedua bagi membantu usahawan yang berdepan masalah pengurusan kewangan yang serius dan berisiko muflis.

 

Katanya, pada 2022, seramai 664 orang usahawan diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan.

 

Daripada jumlah itu, seramai 40 usahawan dipilih untuk mengikuti Program Bimbingan Khas Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) selama empat bulan bermula 17 Oktober 2022.

 

"SME Corp juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan AKPK pada 3 Februari lalu sebagai usaha untuk membantu PMKS dalam pendidikan dan pengurusan kewangan dan kredit.

 

"Kerjasama strategik ini dilihat dapat membantu dan memudahkan PMKS membuat keputusan dalam menguruskan kewangan secara bijak dan berhemah, terutamanya dalam era pasca pandemik," katanya.  - DagangNews.com