Kisah anak, cuci jamban dan Elaun Sara Hidup | DagangNews Skip to main content

Kisah anak, cuci jamban dan Elaun Sara Hidup

Pelajar di luar negara sanggup bekerja sambilan termasuk mencuci tandas. - Gambar hiasan

SAYA adalah bapa kepada salah seorang daripada 4,149 pelajar tajaan MARA di universiti luar negara.

 

Anak saya kini sedang bergelut bukan sahaja dengan buku-buku notanya, tetapi juga wang di dalam sakunya.

 

Untuk makluman, anak saya ketika ini mendapat elaun sara hidup (ESH) yang disediakan MARA untuk menampung perbelanjaan harian meliputi kos makan minum, sewaan kediaman, pengangkutan dan keperluan hariannya semasa pengajian.

 

Kadar elaun sedia ada telah diguna pakai sejak lebih 13 tahun lalu, tak naik-naik.

 

Peningkatan sara hidup hidup, COVID-19 dan pelbagai isu lain telah membuatkan kehidupan anak saya dan rakan-rakannya begitu tertekan, selain tekanan untuk menghabiskan pengajian masing-masing.

 

Walaupun anak saya cuba menyembunyikan keresahannya, namun naluri seorang bapa tetap dapat merasainya.

 

Airmata saya akhirnya tumpah apabila anak saya 'kantoi' dalam sekeping gambar di dalam Facebooknya.

 

Dalam foto itu, saya ternampak satu perkataan yang tertulis nama sebuah syarikat di kemeja T yang disidai di dalam biliknya.

 

Bila saya Google perkataan itu, rupanya ia adalah sebuah syarikat pembersihan tandas - ternyata anak aku membuat kerja sampingan mencuci jamban!

 

Sebenarnya tidak salah dia melakukannya, ia ternyata satu rezeki yang halal, malah pekerjaan seperti itu bukanlah sesuatu yang asing buat pelajar kita di luar negara.

 

Cuma sebagai bapa, bohong jika saya tidak merasa sedih dengan situasi yang dilalui oleh anak saya.

 

Saya tahu inilah antara pengorbanan yang perlu dilalui untuk berjaya, apatah lagi saya hanyalah seorang kerani cabuk yang tak mampu untuk menghantar wang saku yang cukup untuk dia menyara kehidupannya di sana.

 

Justeru apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengumumkan kenaikan ESH pelajar dalam dan luar negara tajaan MARA, air mata saya sekali lagi tumpah kerana terlalu gembira dan bersyukur dengan keputusan tersebut.


 

PM

 


Bukan sedikit mereka yang dapat tempiasnya, saya difahamkan jumlahnya hampir 63,000 orang!

 

Mengikut laporan yang saya baca, bagi pelajar luar negara, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional.

 

Berdasarkan tinjauan JPA-MARA ‘Special Operation’ pada Februari lepas dengan menumpukan kepada kehidupan di kota utama seperti London, Bristol dan Edinburgh, lebih 60 peratus pelajar tajaan MARA dan JPA yang majoritinya golongan B40 didapati terbeban dengan perbelanjaan harian.

 

Sebagai contoh, purata perbelanjaan sebulan untuk bayaran sewa rumah dan bil utiliti di kota-kota utama berjumlah sekitar £500 atau RM2,733 hingga £730 atau RM3,990 iaitu perbelanjaan antara 60 hingga 70 peratus daripada elaun yang diterima setiap pelajar.

 

Elaun sara hidup pelajar MARA dan JPA seperti di London ialah sebanyak £1,045 atau RM5,712, jauh lebih rendah berbanding median saranan kerajaan UK iaitu sebanyak £1,312 atau RM7,172 setakat September 2021.

 

Saya tak dapat bayangkan sekiranya anak saya itu langsung tidak mendapat ESH ini, agaknya dah lama dia lari balik ke Malaysia.

 

Sebagai salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, saya tabik dengan MARA kerana mendengar denyut nadi anak bangsanya.


 

MARA

 


Penghormatan itu juga saya panjangkan kepada Menterinya yang sudah tentu telah menyampaikan mesej berkenaan kepada Perdana Menteri sehingga ESH diluluskan serta-merta.

 

Doa saya agar anak saya terus istiqamah dengan perjuangannya untuk mendapatkan ilmu di rantau orang walaupun mustahil ESH dapat menampung 100 peratus keperluan kewangannya di sana.

 

Ingat di saat kita berasa susah, ramai lagi insan di luar sana yang terbeban dengan 1,001 masalah.

 

Bersyukurlah. Bersyukurlah. Bersyukurlah

 

BAPA TERHARU
Ipoh, Perak.