‘Kita Prihatin’ unjur bajet defisit KDNK 0.7% | DagangNews Skip to main content

‘Kita Prihatin’ unjur bajet defisit KDNK 0.7%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Walaupun kerajaan belum mendedahkan impak fiskal pakej bantuan tambahan Kita Prihatin, namun tambahan peruntukan RM10 bilion dijangka meningkatkan ramalan defisit bajet sebanyak 0.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bajet defisit yang diunjurkan sebelum ini adalah antara 5.8% hingga 6%.

CGS-CIMB Research berkata, unjuran itu mungkin lebih rendah sekiranya perbelanjaan itu diletakkan di bawah bajet 2021 atau dana digunakan daripada perbelanjaan bajet lain. 

“Setakat tujuh bulan pertama 2020, defisit bajet bernilai RM66 bilion atau 8% daripada KDNK yang dinilai. 

“Ketika Kita Prihatin akan menarik metrik fiskal lebih lagi, terdapat ruang selepas Parlimen meluluskan peningkatan siling hutang kerajaan kepada 60% daripada KDNK pada Ogos lalu,” kata analisis laporan CGS-CIMB.

 

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej Kita Prihatin menerusi perutusan khas dalam talian, semalam.

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan langkah rangsangan bernilai RM305 bilion atau 21.5% daripada KDNK.

Ketiga-tiga peruntukan itu menyasarkan tiga dasar iaitu Bantuan Prihatin 2.0 , Program Subsidi Upah 2.0 dan pembukaan semula permohonan Geran Prihatin Khas. 

Pakej itu menyasarkan golongan B40 yang berkeluarga dan bujang, golongan M40 yang berkeluarga dan bujang, golongan pekerja dan peniaga mikro dalam pelbagai bidang. 

Sementara itu, jumlah bantuan yang akan disalurkan di bawah BPN 2.0 melibatkan RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40, RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang, RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40, dan RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang.

GKP pula akan dibuka kepada peniaga mikro yang berdaftar atau memegang lesen berniaga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Pihak Berkuasa Tempatan sehingga 31 Ogos 2020 dan bayaran disasarkan akan dibuat mulai 25 November 2020.

Bagi Program Subsidi Upah 2.0, kerajaan membuka permohonan bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2020 bagi majikan yang masih terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti sektor pelancongan dengan pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30% berbanding tahun lepas. - DagangNews.com