KJ perjelas peruntukan tambahan RM2 bilion program vaksin | DagangNews Skip to main content

KJ perjelas peruntukan tambahan RM2 bilion program vaksin

Gambar Facebook Khairy Jamaluddin

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 April - Peningkatan peruntukan bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak RM2 bilion kepada RM5 bilion daripada RM3 bilion sebelum ini dilakukan setelah mempertimbangkan beberapa faktor.

 

Ini mengambil kira pelaksanaan PICK di mana peruntukan asal digunakan bagi perolehan vaksin, manakala peruntukan tambahan adalah untuk menampung perbelanjaan mengurus pelaksanaan program tersebut, jelas Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin. 

 

Kata Khairy, peruntukan tersebut akan dibiayai melalui tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) di mana penggunaannya telah dijelaskan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

Baca : Wajar guna RM5 bilion dana KWAN untuk beli vaksin - MoF

 

“Pada 23 Disember 2020, saya telah umumkan bahawa kerajaan telah berjaya mendapatkan akses vaksin untuk 82.8% populasi negara dari pelbagai pembekal dengan harga keseluruhan RM2.05 bilion. 

 

“Mengambil kira risiko gangguan bekalan seperti sekatan eksport, bahan mentah, kapasiti pengilang dan kelulusan regulatori, jumlah 82.8% itu ditingkatkan kepada 110% dan diumumkan dalam Buku Panduan PICK yang dilancarkan pada 16 Februari, 2021. Kos perolehan vaksin untuk 110% populasi adalah RM3.16 bilion. 

 

“Dengan pengumuman daripada beberapa pembekal vaksin bahawa ujian klinikal sedang dijalankan kepada golongan remaja, kerajaan juga telah membuat ketetapan awal untuk menambah lagi bekalan vaksin bagi pemberian dibuat kepada golongan tersebut apabila kelulusan diberi kelak,” katanya dalam sebuah kenyataan, bertarikh semalam.

 

Sebelum ini, peruntukan tambahan bagi PICK telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pelancaran Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) pada bulan lalu.

 

Ujar Khairy lanjut, kerajaan juga mengambil ketetapan untuk memperolehi bekalan tambahan sebagai stok penimbal jika dos booster tambahan diperlukan. 

 

Walaupun buat masa ini harga perolehan dianggarkan pada RM3.16 bilion, namun katanya, ini bergantung kepada penambahan bekalan dengan mengambil kira pemberian vaksin untuk golongan remaja dan stok penimbal sehingga siling RM3.5 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

 

Anggaran perolehan vaksin itu juga masih tidak muktamad, katanya lagi. 

 

PICK

 

Beliau memberi contoh perjanjian kerajaan dengan pembekal seperti Gamaleya (Sputnik V) dan CanSino yang masih belum dapat dilaksanakan disebabkan vaksin-vaksin tersebut sedang dinilai oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan belum didaftar. 

 

“Jika vaksin-vaksin ini tidak mendapat kelulusan atau mengambil masa yang terlalu lama, kerajaan ada pilihan untuk tidak meneruskan perjanjian tersebut tanpa apa-apa implikasi kewangan.

 

“Selain itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, dan saya selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) juga telah membentangkan perancangan pembelian vaksin COVID-19 dan pelaksanaan PICK kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 5 Januari 2021. 

 

“Dalam prosiding PAC tersebut, dokumen perjanjian pembelian vaksin COVID-19 juga telah dibentangkan kepada ahli-ahli PAC. Susulan prosiding tersebut, PAC telah mengeluarkan kenyataan bahawa jawatankuasa tersebut berpuas hati dengan penjelasan dan keterangan yang telah dikemukakan oleh JKJAV,” ujar Khairy.

 

Dalam pada itu, peruntukan pelaksanaan PICK juga akan disalurkan melalui semua kerajaan negeri, termasuklah kos sewaan and utiliti bagi 600 lebih Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di fasiliti bukan Kementerian Kesihatan, perkakasan dan bekalan pakai habis, pembersihan dan sanitasi, saguhati sukarelawan dan penyumber luaran tiga pengamal perubatan swasta. - DagangNews.com