Jumlah jualan kereta diramal menyusut 8% kepada 730,000 unit pada 2025, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Jumlah jualan kereta diramal menyusut 8% kepada 730,000 unit pada 2025, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Dis - RHB Investment meramalkan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) pada 2025 menyusut sebanyak 8% kepada 730,000 unit berbanding 790,000 unit pada tahun ini.

 

Katanya, jangkaan TIV yang lebih lemah itu adalah kesan daripada asas yang tinggi dan tiada pemangkin menarik untuk jualan kereta pada 2025 bagi mengekalkan jualan pada tahap semasa.

 

"Kami percaya penurunan itu akan didorong oleh jenama bukan nasional, yang terus menghadapi persaingan sengit berikutan kemasukan pemain baharu, khususnya pengeluar kereta China.

 

"Sesetengah pembeli kereta mungkin menangguhkan pembelian mereka dengan menjangkakan potongan harga selanjutnya daripada jenama sedia ada dan baharu bukan nasional, yang boleh menjejaskan kestabilan segmen bukan nasional," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidian itu mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor itu dan kekal berhati-hati terhadap prospek 2025 kerana industry kekurangan pemangkin untuk mengekalkan momentum jualan.

 

Katanya, kewaspadaan itu disebabkan persaingan harga yang berterusan dalam kalangan jenama bukan nasional, sementara pesanan tertunggak yang semakin lemah menunuukan jangkaan yang tidak menentu untuk 2025.

 

Pilihan utama firma itu kekal Bermaz Auto Bhd, untuk penilaian yang menarik dan hasil dividen yang lebih tinggi daripada purata sektor, dan Sime Darby Bhd, untuk kedudukan kukuhnya untuk rasionalisasi RON95 dan barisan kenderaan elektrik yang luas.

 

Katanya, pegangan Sime Darby dalam Perodua juga membantu mengurangkan risiko pendapatan daripada persaingan yang semakin sengit dalam kalangan jenama bukan nasional.

 

"Secara amnya, prestasi pemain sektor automotif memenuhi jangkaan, kerana kedua-dua Sime Darby dan MBM Resources Bhd memenuhi ramalan kami.

 

"Sementara itu, keputusan Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCM) dan Bermaz Auto kurang daripada anggaran kami," katanya.

 

Pada November 2024, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan jumlah TIV sebanyak 67,500 unit, menjadikan TIV tahun sehingga kini (YTD) kepada 731,000 unit peningkatan 1.4% berbanding 11 bulan 2023. 

 

Bagaimanapun, TIV melemah dari bulan ke bulan pada November 2024, dengan pengeluar kereta utama mencatatkan angka jualan yang lebih lemah.

 

Toyota mendahului penurunan dengan 6.7% dalam volum jualan, diikuti Perodua (-5.7%) dan Proton (-5%).- DagangNews.com