KK Supermart tawar hadiah RM1 juta menerusi peraduan beli dan menang | DagangNews Skip to main content

KK Supermart tawar hadiah RM1 juta menerusi peraduan beli dan menang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac -  KK Supermart melancarkan program 'Beli dan Menang RM1 juta' sebagai galakan untuk orang ramai berbelanja dan bersama-sama membantu merancakkan semula ekonomi negara.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan pihak industri peruncitan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna yang berbelanja.

 

Beliau berkata, program tersebut selaras dengan konsep 3R yang sedang di laksanakan KPDNHEP melalui Program Jualan Malaysia iaitu Recovery (pemulihan), Revive (menghidupkan semula) dan Revitalise (merancakkan).

 

"Pengguna khususnya yang beragama Islam boleh mengambil kesempatan ini untuk berbelanja keperluan harian menjelang sambutan bulan Ramadan dengan harga yang berpatutan disamping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan.

 

"KPDNHEP sentiasa meneruskan pelbagai inisiatif untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi melalui pelaksanaan pelbagai program seperti Program Jualan Malaysia (PJM), Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang akan diteruskan sepanjang bulan Ramadan ini khusus untuk membantu rakyat menangani isu kos sara hidup pada masa ini. 

 

"Semua inisiatif kementerian ini sentiasa disokong pihak industri termasuklah KK Supermart di seluruh Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian program Beli dan Menang RM1 juta di KK Super Mart, Terminal Bersepadu Selatan (TBS3) di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, KK Supermart di seluruh Malaysia akan terus kekal menawarkan harga barangan pada kadar yang berpatutan dan berkualiti tinggi kepada pengguna walaupun dalam keadaan persekitaran ekonomi yang semakin mencabar hari ini.

 

 

NANTA
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

 

 

"KK Mart yang bermula dari sebuah kedai runcit biasa sehinggalah wujudnya rangkaian premis runcit yang di antara terbesar di negara ini adalah merupakan satu kejayaan yang sangat membanggakan," katanya.

 

Beliau berkata, sempena sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan Tahun 2022, KPDNHEP telah memilih tema 'Digitalisasi Pengguna' untuk membuka ruang dan peluang kepada semua urusan pembelian atas talian atau tanpa tunai secara bersemuka di premis yang diyakini semakin selamat, cepat dan lebih mudah dalam menyokong pelbagai urusan harian.

 

"Sejak hampir dua tahun yang lalu industri peruncitan di negara ini telah mengalami masa yang sangat mencabar akibat daripada pandemik COVID-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang akhirnya memberi kesan langsung kepada pengguna. 

 

"Situasi pandemik tersebut juga secara tidak langsung telah membawa pengguna untuk hidup dengan norma dan kelaziman baharu, malah turut mendedahkan peniaga dan pengguna dengan digitalisasi," katanya. - DagangNews.com