KKM tidak bergantung sepenuhnya kepada Pharmaniaga bagi mendapatkan bekalan ubat | DagangNews Skip to main content

KKM tidak bergantung sepenuhnya kepada Pharmaniaga bagi mendapatkan bekalan ubat

Dr. Zaliha Mustafa (tiga dari kanan) melawat ruang pameran selepas merasmikan Healthcare Facility Management Conference 2023, hari ini. - Gambar/Bernama

PURAJAYA 17 Ogos - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bergantung sepenuhnya kepada Pharmaniaga Berhad mendapatkan bekalan ubat sebaliknya turut berurusan terus dengan syarikat berkaitan bagi memastikan bekalan ubat dalam negara sentiasa mencukupi.

 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, setakat ini, bekalan ubat dalam negara tidak terjejas, susulan kedudukan Pharmaniaga dalam kategori Nota Amalan 17 (PN17) iaitu syarikat bermasalah kewangan.

 

"Bekalan ubat tidak terjejas. Pharmaniaga hanya terbabit dengan pengedaran atau logistik.

 

"KKM ada beberapa cara juga untuk perkhidmatan farmaseutikal ini, kita berurusan terus dengan syarikat yang terbabit. Jadi, ia memang tidak memberi kesan kepada bekalan ubat," katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pengurusan Fasiliti Penjagaan Kesihatan (HcFM CONFEX) 2023, hari ini, lapor Berita Harian.

 

April lalu, Dr. Zaliha memaklumkan, KKM akan melanjutkan penyediaan ubat-ubatan dan bekalan perubatan bagi kemudahannya daripada Pharmaniaga untuk tempoh 10 tahun lagi, selepas tempoh interim berakhir pada Jun lalu.

 

Sebelum itu, kerajaan melanjutkan tarikh rundingan perjanjian konsesi Pharmaniaga kepada Jun 2023 berikutan kerugian syarikat farmaseutikal itu sebanyak RM607.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta pada tahun sebelumnya.

 

Ia berikutan peruntukan RM552 juta untuk 'stok vaksin COVID-19 yang bergerak perlahan' mendorong syarikat itu di bawah kategori PN17, yang bermasalah kewangan.

 

Perolehan Pharmaniaga juga merosot 27.1% kepada RM3.51 bilion daripada RM4.82 bilion berikutan permintaan yang lebih rendah daripada kerajaan untuk pembelian vaksin COVID-19.- DagangNews.com