Klasifikasi kes agensi tipu jemaah haji sebagai jenayah berat, jatuhkan hukuman penjara - MATTA | DagangNews Skip to main content

Klasifikasi kes agensi tipu jemaah haji sebagai jenayah berat, jatuhkan hukuman penjara - MATTA

KUALA LUMPUR 11 Julai - Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mencadangkan pihak berkuasa menjadikan kes penipuan agensi pelancongan jemaah haji sebagai jenayah berat dengan menjatuhkan hukuman penjara bagi membanteras penipuan seumpamanya.

 

Presidennya Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata bagi mengelak ditipu, bakal jemaah haji yang berurusan dengan agensi pelancongan boleh menghubungi MATTA jika mereka mempunyai sebarang keraguan.

 

Beliau berkata, bakal jemaah haji perlu mempunyai visa haji untuk menunaikan haji.

 

"Pastikan anda mempunyai visa haji. Dapatkan bukti sebelum memberikan sebarang dokumen seperti pasport dan jangan bayar sebelum ada jaminan penerbangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd Khalid juga mengingatkan agensi pelancongan supaya tidak memperdagangkan sesuka hati visa haji yang diberikan kepada mereka dan menetapkan caj perkhidmatan yang berpatutan.

 

“Pastikan agensi pelancongan telah terlebih dahulu menerima tawaran (visa haji),” katanya.

 

Pada 7 Julai lalu, media melaporkan 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

 

Mereka dipercayai menggunakan visa furada iaitu visa urus sendiri dan dilaporkan dikeluarkan Arab Saudi yang tidak termasuk dalam kuota Tabung Haji (TH).

 

TH sebelum ini memberi amaran bahawa mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji tanpa kelulusan adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). - DagangNews.com