KLCI bermula positif, saham DNeX, AVI, HIAPTEK, AirAsia paling rancak diniagakan | DagangNews Skip to main content

KLCI bermula positif, saham DNeX, AVI, HIAPTEK, AirAsia paling rancak diniagakan

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pengumuman beberapa kemudahan diberikan kepada rakyat Malaysia yang lengkap dua dos vaksin COVID-19 telah memberikan suntikan agak positif buat pasaran tempatan untuk dibuka lebih tinggi. 

 

Setakat 9 pagi ini, indeks utama, FBM KLCI menokok 1.96 mata kepada paras 1,491.76, sebelum berlegar ke paras 1,493.22 setelah satu minit didagangkan. 

 

Menurut Rakuten Trade Research, FBM KLCI yang ditutup lebih lemah pada Jumaat lalu dijangka menyaksikan sedikit pengukuhan hari ini memandangkan terdapat kelonggaran ekonomi domestik secara berperingkat. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks berkenaan akan bergerak lebih tinggi dan berlegar dalam julat 1,490 hingga 1,500 mata hari ini. 

 

“Namun, kami percaya dagangan akan kekal suram kerana pasaran akan ditutup esok, sempena Awal Muharram,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian pasarannya hari ini.

 

Dalam kalangan kaunter paling aktif didagangkan, saham Dagang Nexchange Berhad berjaya menjadi perhatian positif para pelabur dengan harga sahamnya menokok 0.05 sen kepada 83 sen setakat 9.14 pagi. 

 

DNeX kembali mencuri perhatian pelabur sejak kumpulan menerusi unit perniagaannya, SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian pembelian dan pembekalan wafer dengan ChipOne Technology (Beijing) Co Ltd. bernilai AS$400 juta.

 

Turut menerima impak positif itu adalah saham Avillion Berhad yang juga menokok 0.05 sen untuk mencecah paras 14.5 sen setakat 9.16 pagi. 

 

Selain DNeX dan Avillion, saham Hiap Teck Venture Berhad turut rancak diniagakan pagi ini dengan harga sahamnya meningkat 0.2 sen kepada 56 sen. 

 

Sementara saham Airasia Group Berhad juga paling aktif diniagakan pada pagi ini, namun harga sahamnya menyusut 0.1 sen kepada 84.5 sen setakat 9.19 pagi. 

 

Beralih ke kaunter untung, Sam Engineering & Equipment (M) Berhad mendahului dengan lonjakan harga saham terbesar sebanyak 60 sen, namun menyusut semula sebanyak 10 sen kepada RM14 selepas 22 minit didagangkan. 

 

Impak positif itu turut dirasai saham Genetec Technology Berhad yang melonjak 38 sen kepada RM25 setakat 9.23 pagi. 

 

Ini diikuti oleh saham Vitrox Corporation Berhad, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad dan Fraser & Neave Holdings Berhad yang mengungguli kaunter untung pada dagangan awal pagi ini.

 

Dana perdagangan bursa (ETF), Tradeplus Shariah Gold Tracker dan diikuti oleh Tomei Consolidated Berhad, Dufu Technology Corp. Berhad dan Malaysia Smelting Corporation Berhad sebaliknya memulakan dagangan di kaunter rugi. 

 

Secara keseluruhannya, pasaran saham Malaysia bermula agak positif apabila jumlah kaunter untung iaitu sebanyak 184 mengatasi 89 jumlah kaunter rugi. 

 

Ini terutamanya diheret naik oleh saham-saham dalam sektor teknologi, pengangkutan dan produk pengguna. - DagangNews.com