KLCI bermula positif, saham Serba Dinamik pula paling aktif | DagangNews Skip to main content

KLCI bermula positif, saham Serba Dinamik pula paling aktif

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pasaran ekuiti tempatan berjaya dibuka lebih tinggi sedikit seiring lonjakan di rata-rata pasaran Asia walaupun sentimen kebimbangan masih lagi ada ekoran kes COVID-19 yang kembali meningkat. 

 

Indeks utama, FBM KLCI dibuka 0.85 mata lebih tinggi untuk mencecah paras 1,505.29 daripada penutupan petang semalam, 1,504.44.

 

Menurut Rakuten Trade Research, pasaran saham Malaysia dijangka terus kekal melepasi paras 1,500 pada hari ini. 

 

“Sementara itu, ramai yang menantikan pembukaan semula ekonomi dan tidak sabar menunggu arahan daripada kerajaan. 

 

“Buat hari ini, kami menjangkakan indeks tersebut akan berlegar antara julat 1,500 hingga 1,510,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Beralih kepada kaunter paling rancak diniagakan, Serba Dinamik Holdings Berhad berjaya mengunggulinya dengan dibuka 0.15 sen lebih tinggi kepada 41.5 sen. 

 

Ini selepas Serba Dinamik mengumumkan anak syarikatnya di Malaysia dan Indonesia, berjaya memperoleh 15 kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC). 

 

Daripada 15 kontrak itu, lapan bernilai AS$67.7 juta (RM286.3 juta) dengan jangka masa kerja sehingga 31 Mei 2024.

 

Ini diikuti oleh saham KNM Group Berhad yang dibuka pada paras 19 sen, dan masih kekal sehingga 9.15 pagi. 

 

Turut rancak diniagakan adalah saham T7 Global Berhad yang menokok 0.1 sen kepada 34.5 setakat 9.16 pagi. 

 

Sementara itu, saham Genetec Technology Berhad masih mengekalkan kedudukannya dalam kaunter paling untung, melonjak 58 sen pada pembukaan 9 pagi ini, kepada RM27.58. 

 

Ini diikuti oleh SAM Engineering & Equipment (M) Berhad yang memulakan dagangan 12 sen lebih tinggi kepada RM14.12, namun menyusut semula 0.04 sen kepada RM13.96 selepas 18 minit didagangkan. 

 

Turut mencatatkan lonjakan harga saham besar adalah Malaysian Pacific Industries Berhad, Widetech (Malaysia) Berhad, Kumpulan H & L High-tech Berhad dan C.I. Holdings Berhad.

 

Saham Nestle (Malaysia) Berhad sebaliknya berada di kedudukan tercorot apabila merosot 60 sen pada pembukaan dagangan pagi ini kepada RM132.60.

 

Selain Nestle, turut merasai impak negatif itu adalah saham Hong Leong Bank Berhad yang menyusut 20 sen kepada RM18.04. 

 

Dagangan pada pagi ini berentak agak negatif walaupun indeks utama dibuka tinggi sedikit, kerana jumlah kaunter rugi iaitu sebanyak 337 jauh mengatasi jumlah kaunter untung sebanyak 159. 

 

Sementara 292 kaunter lagi tidak berubah dan 1425 tidak didagangkan. - DagangNews.com