KLCI 'berusaha' teruskan momentum lonjakan semalam | DagangNews Skip to main content

KLCI 'berusaha' teruskan momentum lonjakan semalam

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 April - Pasaran saham tempatan cuba untuk meneruskan momentum kukuh semalam walaupun dibuka sedikit rendah pada awal dagangan pagi ini. 

 

Setakat 9.01 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut 0.86 mata atau 0.05% kepada 1,622.61 daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,623.47.

 

Rakuten Trade Research menjangkakan pasaran tempatan akan terus menonjolkan momentum kukuh. 

 

“Di peringkat tempatan, FBM KLCI melonjak 0.94% atau 15.04 mata semalam untuk ditutup pada 1623.47, melepasi paras rintangan kukuh 1,610 didorong oleh kaunter sarung tangan getah, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan. 

 

“Kami menjangkakan pasaran tempatan akan meneruskan momentumnya memandangkan sentimen pelabur kukuh, menguji paras rintangan segera pada kadar 1,635,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. 

 

Di peringkat global, Wall Street rata-ratanya berakhir lebih tinggi memandangkan pelabur mula membeli menjelang sesi perolehan suku tahun ini, menurut Rakuten Trade lagi. 

 

Ujar firma penyelidikan itu, S&P 500 menokok 0.18% kepada paras tertinggi 4,187.62, sementara Nasdaq melompat 0.9% kepada 14,138.78, mencecah rekod baharu sejak Februari. 

 

“Bagaimanapun, Dow Jones Industrial Average hilang 61.92 mata atau 0.2% kepada 33,981.57, diheret turun oleh P&G, Walmart dan Coca Cola. 

 

“Di peringkat serantau, indeks-indeks utama dijangka dibuka bercampur-campur memandangkan para pelabur masih menunggu keputusan kadar faedah Bank Jepun,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com