Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Feb. - ‘Kehadiran’ kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNtech telah menyuntik pasaran ekuiti tempatan untuk meraih semula momentum meningkat pada minggu terakhir untuk Februari 2021.
Ketika dibuka pada 9 pagi, penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 2.58 mata daripada paras yang ditutup Jumaat lalu, 1,584.93 kepada 1,587.51.
Semalam, vaksin COVID-19 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas. Vaksin berkenaan akan digunakan bagi petugas barisan hadapan negara dalam fasa pertama di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis.
Dalam masa sama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksin berkenaan dan program imunisasi telah diawalkan pada 24 Februari ini.
Menurut Rakuten Trade Research, sentimen di bursa tempatan akan didorong oleh berita vaksin COVID-19 tetapi pasaran itu mungkin berprestasi sebaliknya memandangkan kaunter sarung tangan dijangka menyaksikan penjualan berterusan.
“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI menyaksikan paras rintangan yang kukuh pada 1,590 hari ini.
“Harga minyak mentah kekal utuh pada paras AS$63 setong memandangkan pemulihan global yang beransur-ansur pulih terus menyokong permintaan,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya.
Di peringkat global pula, Wall Street berakhir mendatar pada Jumaat lalu memandangkan para pelabur memikirkan kemungkinan kadar faedah yang lebih tinggi ketika kadar hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) selama 10 tahun melonjak kepada 1.34%.
“Dow Jones Industrial Average kekal pada paras 31,494 setelah menyentuh paras tertinggi harian menghampiri 31,650.
“Oleh itu, kami menjangkakan prestasi pasaran serantau akan mendatar hari ini,” tambah Rakuten Trade lanjut. - DagangNews.com