Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Mac - Pasaran tempatan meraih pemangkin dalam dagangan hari ini, apabila indeks utama FBM KLCI ditutup tinggi pada 1,588.45 mata setelah menokok 18.58 mata atau 1.18%.
Saham-saham berkaitan sarung tangan getah sebahagian besarnya menjadi pemacu utama pergerakan pasaran pada ketika pasaran saham Asia melonjak susulan pelaksanaan program vaksin COVID-19 meningkatkan harapan terhadap pemulihan ekonomi.
Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 631 berbanding 559 manakala 416 kaunter tidak berubah.
Petang ini, kaunter berkaitan sarung tangan getah seperti Top Glove ketika ditutup naik 7.16% kepada RM5.09 sesaham manakala Hartalega turut meningka 4.68% kepada RM9.85.
Saham Supermax melonjak 13.38% kepada RM4.66 dan Kossan pula naik 5.21% kepada RM3.84.
Menurut TA Securities Holdings Bhd. dalam nota kajian, walaupun saham-saham mewah diniagakan dalam jajaran kecil hari ini, tetapi saham berkaitan sarung tangan getah dan minyak dan gas (O&G) menyaksikan aktiviti pengambilan untung yang lebih besar.
"Keadaan ini disebabkan harga minyak mentah global merosot dan diimbangi oleh kitaran bagi aktiviti tawar-menawar melibatkan saham berkaitan perbankan, telekomunikasi, pengangkutan dan logistik susulan pemulihan ekonomi," katanya.
Menurut firma penyelidikan itu, saham-saham mewah dijangka melalui kitaran belian murah tidak lama lagi manakala pembelian akan melingkari saham-saham murah terutama dalam hartanah, teknologi, pengangkutan dan sektor berkaitan telekonomunikasi apabila keyakinan terhadap pemulihan ekonomi semakin meningkat.
Sementara itu, CGS-CIMB mengekalkan unjuran KLCI pada 1,759 mata menjelang akhir tahun ini dengan mengambil kira pelaksanaan program vaksin COVID-19 yang sedang berjalan sejak 24 Februari lalu.
"Selain itu, hasil korporat yang kukuh setakat ini dijangka kekal menyokong pasaran.
"Dalam masa sama, kelemahan dolar AS akan mengembalikan semula pelabur asing dalam pasaran ekonomi baharu muncul temasuk Malaysia," katanya.
Menurut firma itu, pelabur juga akan memerhati pergerakan politik tanah air terutama Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan 27 dan 28 Mac ini.
Pada 7 Januari lalu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, majlis tertinggi memutuskan bahawa usul memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan langkah untuk menggabungkan kerjasama dengan PAS akan dibincangkan pada perhimpunan tersebut.
Bagi pasaran kewangan pula, ringgit petang ini ditutup pada RM4.0490/0540 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, pada RM4.0570/0600. - DagangNews.com