KLCI dibuka, masih bawah 1,600 | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka, masih bawah 1,600

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Pasaran saham tempatan mungkin mengakhiri minggu ini di bawah paras rintangan 1,600 susulan pengumuman lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu di enam buah negeri. 

 

Umum sudah menjangkakan PKP 2.0 akan dilanjutkan memandangkan kes harian COVID-19 masih lagi mencecah purata angka 3,000. 

 

Ini sekali gus memberi suntikan sentimen negatif kepada pelabur untuk terus menjual ekuiti tempatan.

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok sedikit sebanyak 1.26 mata kepada 1,596.06 daripada paras yang ditutup semalam, 1,594.80. 

 

Sukar untuk indeks itu berlegar melepasi paras 1,600 memandangkan ketika ini tiada suntikan sentimen positif. 

 

Reuters melaporkan para pelabur di pasaran Asia menantikan dagangan yang tidak menentu selepas Wall Street mencecah paras tertinggi semalam. 

 

Ini didorong oleh harapan mereka terhadap suntikan rangsangan ekonomi selain jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) disandang secara rasmi oleh Joe Biden. 

 

Saham MSCI di seluruh dunia melonjak 0.02% sementara Australia jatuh 0.08% pada awal dagangan. 

 

Semalam, saham Jepun ditutup 0.82% lebih tinggi dan kontrak niaga hadapannya kini jatuh 0.49% daripada paras yang ditutup.

 

Niaga hadapan indeks pasaran saham di Hong Kong pula jatuh 0.17%. - DagangNews.com