KUALA LUMPUR 24 Sept. - Indeks pasaran saham Malaysia dibuka rendah selepas pasaran saham di Amerika Syarikat (AS) lemah.
Setakat 9.05 pagi, KLCI berada pada paras 1,495.83, turun 0.65 mata.
Para pelabur juga berhati-hati terhadap ketidaktentuan politik di Malaysia selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah runtuh.
Ini ekoran dakwaan beliau yang mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat.
Para pelabur sedang menunggu data mingguan yang dijangka menunjukkan penurunan kadar pengangguran AS.
Sementara itu, pasaran saham Asia turut dibuka rendah selepas banyak saham kaunter teknologi besar dijual di Wall Street.
Menurut Trading Economics, keadaan itu sekaligus menarik penanda aras Amerika Syarikat ke paras lebih rendah dengan ketara.
Dalam masa sama, sentimen kekal lemah memandangkan kes pandemik COVID-19 terus meningkat di seluruh dunia selain kekurangan pakej bantuan yang meningkatkan kebimbangan terhadap ekonomi.
Indeks saham Jepun terus menunjukkan penurunan sementara para pelabur sedang menunggu keputusan dasar monetari Bank of Japan.
Trend sama turut berlaku di pasaran saham Australia apabila para pelabur lebih berhati-hati selepas lambakan penjualan saham di Wall Street.
Para pelabur juga bimbang akan pemulihan ekonomi memandangkan kes COVID-19 terus meningkat yang dijangka mendorong langkah perintah berkurung lain serta penurunan aktivit ekonomi dunia. - DagangNews.com