KLCI dibuka rendah turun 0.29% | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka rendah turun 0.29%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Ogos - FBM KLCI dibuka rendah, menurun sebanyak 0.29% didorong oleh saham melibatkan Genting serta kaunter lain merosot.

Setakat 9.05 pagi, KLCI jatuh sebanyak 4.59 mata kepada 1,570.79.

CGS-CIMB Research menjangkakan pasaran Malaysia hari ini akan didagangkan antara 1,565 hingga 1,590.

Bagaimanapun, pasaran Asia melonjak didorong oleh peningkatan saham Amerika Syarikat (AS) terutamanya melibatkan sektor teknologi. 

Menurut Bloomberg, niaga hadapan Jepun, Hong Kong dan Australia meningkat diikuti oleh lonjakan kontrak niaga hadapan S&P 500 selepas meraih keuntungan sederhana semalam (Khamis).

“Penanda aras berkenaan sekali gus mengatasi data pekerjaan AS yang tidak memberangsangkan. Hasil khazanah selama 10 tahun pula menurun kepada 0.65% dan dolar AS lemah.

“Minyak mentah turut merosot selain harga emas meningkat,” jelas laporan Bloomberg. 

Semalam, dolar AS menyusut sebanyak 0.10% kepada 92.793 susulan Rizab Persekutuan negara berkenaan menekankan kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi termasuk data pengangguran yang meningkat kepada 1.11 juta daripada 0.97 juta. 

Dalam pada itu, permintaan pelabur untuk potensi keuntungan syarikat internet dan perisian tetap utuh.

Industri berkenaan menunjukkan momentum dalam pasaran saham walaupun terdapat kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi. - DagangNews.com