KLCI dibuka tinggi didorong lonjakan mendadak Wall Street | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka tinggi didorong lonjakan mendadak Wall Street

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Pasaran saham Malaysia dibuka lebih tinggi didorong lonjakan mendadak di Wall Street apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menunjukkan tanda positif terhadap pemberian pakej rangsangan.

Setakat 9 pagi, KLCI melonjak 5.91 mata atau 0.4%, mencecah paras 1,495.47.

Rakuten Trade Research berkata, pasaran serantau dijangka menunjukkan prestasi lebih mengukuh hari ini. 

“Di pasaran domestik, KLCI harus membalikkan kerugiannya semalam susulan beberapa penjualan lewat. 

“Kami percaya indeks itu cenderung mencecah paras 1,500, berkemungkinan sekitar 1,505 atau 1,510,” kata Rakuten Trade dalam kajian pasaran harian. 

Pasaran saham Asia dibuka lebih tinggi, seiring ekuiti di AS apabila para pelabur melihat tanda-tanda harapan terhadap Joe Biden dalam pilihan raya presiden, di mana dipercayai mempengaruhi pemberian pakej rangsangan.

Menurut Bloomberg, saham di Australia dan Korea Selatan meningkat, tetapi Jepun menyaksikan sedikit perubahan. 

Niaga hadapan saham AS turut melonjak diikuti peningkatan semalaman 1.7% oleh S&P 500.

Sebelum itu, Nancy Pelosi menggambarkan keterbukaan untuk berunding mengenai rang undang-undang pelepasan syarikat penerbangan dengan Steven Mnuchin setelah Trump menghentikan rundingan yang lebih luas.

Dalam masa sama, satu tinjauan baharu menunjukkan Biden semakin mendahului dalam beberapa persaingan yang penting.

“Walaupun perdebatan mengenai rangsangan fiskal mengaitkan pemilihan terus berlangsung, persoalan sebenarnya adakah pasaran berada di hadapan dengan senario ‘gelombang biru’ (lonjakan pengundi menyokong calon Demokrat di AS)?” kata Ketua Penyelidik Pepperstone Financial di Melbourne, Chris Weston. - DagangNews.com