Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Okt. - Selepas menyaksikan prestasi penurunan pada minggu lalu, pasaran saham Malaysia mula menunjukkan peningkatan didorong lonjakan niaga hadapan di Amerika Syarikat (AS).
Setakat 9 pagi, KLCI melonjak 3.37 mata atau 0.22%, mencecah paras 1,507.21.
Rakuten Trade Research berkata, pasaran saham Malaysia dijangka menunjukkan pemulihan lebih baik berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan pada minggu lalu.
“Walaupun kami menjangkakan kecairan (liquidity) akan berterusan mengalir ke saham yang kurang daripada RM1 (penny stock), kami meramalkan KLCI menunjukkan peningkatan hari ini dalam lingkungan 1,510 dan 1,515,” kata Rakuten Trade.
Tambahnya, niaga hadapan AS yang menunjukkan trend peningkatan bakal mendorong pasaran serantau untuk pulih.
“Wall Street menunjukkan prestasi yang memberangsangkan walaupun terdapat keuntungan yang diambil pada sesi terakhir.
“DJI Average meningkat 112 mata sekitar paras 28,600 ketika data ekonomi bertambah baik di AS,” tambah Rakuten Trade.
Menurut Bloomberg, saham Asia meningkat selepas terdapat keyakinan terhadap perkembangan rundingan rangsangan fiskal di Washington.
Indeks niaga hadapan S&P 500 meningkat selepas ditutup lebih tinggi untuk minggu ketiga.
Saham di Jepun, Australia dan Korea Selatan turut melonjak.
Pada Selasa lalu, Speaker Dewan, Nancy Pelosi meletakkan tarikh akhir bagi rundingan rangsangan fiskal dengan Presiden AS selepas perbincangan yang panjang dengan Setiausaha Khazanah, Steven Mnuchin. - DagangNews.com