Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Jan. - Setelah didagangkan mendatar minggu lalu, pasaran saham tempatan menunjukkan prestasi jauh lebih baik pada pagi ini.
Melonjak sehingga 16.54 mata setakat 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI mencecah 1,597.16 daripada paras yang ditutup pada dua hari lalu, 1,580.62.
Semalam, dagangan di Bursa Malaysia ditutup susulan cuti umum perayaan Thaipusam.
Lonjakan lebih 15 mata memberi harapan baharu untuk menyaksikan indeks berkenaan melepasi paras rintangan 1,600.
Namun, Rakuten Trade Research percaya pasaran tempatan akan terus ‘suram’ memandangkan FBM KLCI dijangka menyaksikan penurunan pada hari ini.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu mungkin bergerak dalam jajaran 1,570/75 menjelang cuti hujung minggu yang panjang di mana pasaran akan ditutup pada Isnin depan.
“Sementara itu, dengan harga minyak sawit mentah yang masih mengukuh pada paras RM3,800 setiap tan metrik, minat terhadap sektor perladangan mungkin kembali,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya.
Seiring pasaran tempatan, saham-saham Asia juga bersedia untuk melonjak selepas ekuiti Amerika Syarikat (AS) meningkat dan dolar AS pula menyusut semalaman.
“Wall Street melonjak semula selepas penjualan besar-besaran pada Rabu lalu ketika musim pengumuman perolehan syarikat di AS.
“DJI Average melonjak 300 mata untuk ditutup melebihi paras 30,500 dan berjaya mencapai tahap tertinggi dalam sehari hampir 31,000.
“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau bakal menyaksikan trend meningkat hari ini walaupun aktiviti mungkin mendatar,” tambah firma penyelidik itu. - DagangNews.com