Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Nov. - Pasaran saham Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini didorong lonjakan pasaran serantau dan menjelang keputusan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selain pilihan raya di Amerika Syarikat (AS).
Setakat 9.02 pagi, KLCI meningkat 3.08 mata atau 0.21%, mencecah paras 1,469.54.
Rakuten Trade Research menjangkakan KLCI bakal menyaksikan lonjakan hari ini selepas didagangkan lemah selama beberapa hari sebelumnya.
“Oleh itu, kami meramalkan pelabur yang membeli akan kembali dengan indeks penanda aras menguji paras 1,490 hari ini,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya.
Sementara itu, saham AS meningkat menjelang pilihan raya presiden yang berlangsung hari ini.
“DJI Average melonjak lebih 400 mata, hampir mencecah paras 27,000.
“Susulan itu, kami percaya pasaran serantau akan mengekalkan trend peningkatan mereka,” tambah Rakuten Trade.
Menurut Reuters, saham Asia dijangka meningkat memandangkan para pelabur mengetepikan kegelisahan menjelang pilihan raya AS dan sebaliknya meletakkan harapan terhadap data output pengilangan yang kukuh di China, Eropah dan AS.
Saham Australia menokok 1.17% pada awal dagangan, manakala niaga hadapan Hong Kong melonjak 0.28%.
Niaga hadapan S&P 500 pula meningkat 0.31%, melanjutkan keuntungan semalaman di Wall Street dan niaga hadapan Jepun pula bertambah 0.41%.
Data output pengilangan yang dikeluarkan semalam menunjukkan ketahanan dalam aktiviti pembuatan di kebanyakan negara seluruh dunia. - DagangNews.com