Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 April - Pasaran saham tempatan berjaya dibuka lebih tinggi pada hari pertama untuk minggu terakhir bagi April 2021, menyambung lonjakan pada hari Jumaat lalu.
Setakat 9.02 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 1.76 mata atau 0.11% daripada paras yang ditutup pada minggu lalu, 1,608.43 kepada 1,610.74.
Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan terus ‘tersekat’ dalam mod penyatuan (consolidation) memandangkan indeks itu gagal untuk melepasi paras 1,610 sejak pertengahan Mac lalu.
“Oleh itu, dengan ketiadaan pemangkin baharu, kami menjangkakan indeks berkenaan akan terus didagangkan dalam julat terhad antara 1,600 hingga 1,610,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Di peringkat antarabangsa, Rakuten Trade berkata, Wall Street ditutup lebih tinggi selepas sesi tidak menentu ketika munculnya berita mengenai cadangan kenaikan cukai keuntungan modal ke atas orang kaya.
“Walaupun ramai percayai kenaikan itu mungkin berlaku, namun kebanyakan berpendapat kuantum mungkin lebih rendah berbanding kadar yang dicadangkan.
“Susulan itu, Dow Jones Industrial Average mengakhiri sesi 227 mata lebih tinggi, untuk ditutup melebihi paras 34,000 sekali lagi.
“Kami percaya turun naik pasaran tidak menentu dengan perkembangan di Wall Street sehingga pasaran serantau dijangka agak lemah hari ini,” jelas Rakuten Trade lagi. - DagangNews.com