Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 April - Pasaran saham tempatan dibuka tinggi sedikit, namun menyusut semula selepas dua minit didagangkan.
Indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 1.71 mata daripada 1,612.25 kepada 1,613.96 ketika dibuka pada 9 pagi ini.
Namun, setakat 9.02 pagi, indeks itu menyusut kepada 1,606.94, menjadikan jumlah penurunan keseluruhan mencecah 5.31 mata atau 0.33%.
Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan lebih tinggi hari ini selepas berprestasi kukuh pada minggu lalu.
“Didorong oleh cadangan penggabungan antara Axiata dan DiGi, kami menjangkakan langkah itu menyuntik perkembangan korporat untuk menghidupkan semula bursa tempatan yang ‘sakit’.
“Walau apa pun keadaan politik, kami menjangkakan indeks itu mungkin melepasi paras 1,615 dan ingin menguji tahap 1,620 hari ini,” kata Rakuten Trade dalam nota kajiannya.
Di peringkat global, keyakinan yang kian meningkat terhadap pembukaan semula ekonomi Amerika Syarikat (AS) telah menarik beberapa dana ke dalam ekuiti memandangkan Wall Street ditutup pada rekod tinggi, Jumaat lalu.
Rakuten Trade berkata, Dow Jones Industrial Average melompat sebanyak 300 mata untuk menghampiri paras 34,000, sementara S&P 500 menokok 32 mata untuk melepasi paras 4,100.
“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan menonjolkan prestasi lebih baik hari ini selepas ditutup lebih rendah pada Jumaat lalu,” tambah firma penyelidikan itu. - DagangNews.com