KUALA LUMPUR 21 Sept. - Indeks pasaran saham Malaysia, KLCI dibuka tinggi seiring lonjakan pasaran Asia lain.
Setakat 9.02 pagi, KLCI dibuka pada kadar 1,510.42, naik 3.9 mata berbanding paras yang ditutup Jumaat lalu.
Kaunter untung termasuk Ajinomoto (M) Berhad, Scientex Berhad, ViTrox Corp Berhad, LPI Capital Berhad, Sarawak Oil Palms Berhad, United Plantations Berhad, Top Glove Corporation Berhad, Tong Herr Resources Berhad danTeck Guan Perdana Berhad.
Sementara itu, pasaran saham Asia melonjak selepas merudum di Wall Street ketika ditutup Jumaat lalu.
Ekuiti dibuka sedikit berubah di Australia dan Korea Selatan, manakala pasaran saham Jepun pula ditutup.
Menurut Bloomberg, mata wang pula menunjukkan perubahan kecil dengan dolar kekal kukuh berbanding mata wang G-10 lain (euro, pound, yen, dolar Australia, dolar New Zealand, dolar Kanada, franc, krone dan krona).
Memandangkan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China masih ada, Donald Trump berkata pihaknya meluluskan pembidaan Oracle Corp bagi operasi TikTok AS, secara konsep.
Ketika ini, para pelabur terus memerhati tanda-tanda kemajuan dalam pakej rangsangan fiskal AS, sementara Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell akan memberi keterangan sebelum persidangan kongres bermula Selasa hingga Khamis ini bagi berbincang mengenai usaha mengurangkan kesan pandemik.
“Kami risau akan keadaan pasaran yang berprestasi tidak baik susulan situasi yang tidak menentu menimpa kita iaitu pilihan raya yang berpotensi berlaku ketika COVID-19 dan kenyataan bahawa kita belum ada pakej rangsangan lagi,” jelas pakar strategi pasaran di Riverfront Investment Group, Rebecca Felton seperti dipetik Bloomberg.
Dalam pada itu, Bank Pusat Eropah pula telah mengkaji semula program pembelian bon ketika pandemik untuk mempertimbang sekiranya ia perlu disambung atau dilanjutkan ke program sebelum ini. - DagangNews.com