KLCI dibuka tinggi seiring pasaran serantau | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka tinggi seiring pasaran serantau

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Mac - Pasaran ekuiti tempatan berjaya dibuka sedikit tinggi pada awal dagangan pagi ini seiring pasaran serantau yang turut stabil. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 3.93 mata daripada paras yang ditutup pada Jumaat lalu, 1,615.69 kepada 1,615.69. 

 

Dagangan pada pagi ini menyaksikan sebanyak 399 kaunter untung mengatasi 129 kaunter rugi.

 

Antara saham yang melonjak awal adalah Nestle (Malaysia) Berhad, Hong Leong Industries Berhad, Gopeng Berhad, Petronas Chemicals Group Berhad, Riverview Rubber Estates, Berhad, Dataprep, Holdings Berhad, PMB Technology Berhad, SCH Group Berhad, Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad dan Ideal United Bintang International Berhad.

 

Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam julat terhad ekoran aktiviti penjualan saham yang tinggi, berlaku sejak Rabu pada minggu lalu. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu akan didagangkan dalam jajaran 1,610/20 hari ini memandangkan minat mungkin tertumpu pada permodalan lebih kecil ekoran jumlah dagangan perlahan-lahan meningkat. 

 

“Sementara itu, kedua-dua harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah kekal meningkat di mana merupakan perkara positif kepada ekonomi Malaysia,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Di peringkat global, Rakuten Trade berkata, Wall Street bercampur-campur pada Jumaat lalu ketika kadar hasil perbendaharaan kian meningkat. 

 

Jelasnya, keyakinan terhadap pakej rangsangan baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS) telah diatasi oleh ketakutan inflasi ekoran kadar hasil perbendaharaan AS melompat ke paras 12 bulan tertinggi pada kadar 1.63%. 

 

“Disebabkan itu, Dow Jones Industrial Average melonjak ke paras tertinggi baharu iaitu 32,780, sementara Nasdaq kehilangan 79 mata. 

 

“Kami percaya pasaran serantau akan bertindak balas secara positif hari ini, tetapi mungkin mendatar ekoran kebimbangan terhadap aspek kadar,” tambah Rakuten Trade. 

 

Dalam pada itu, menurut Bloomberg, saham-saham Asia memulakan dagangan hari ini dengan stabil ketika kadar hasil perbendaharaan AS melonjak dan menjelang perjumpaan Rizab Persekutuan pada minggu ini.

 

Ekuiti Jepun melonjak, tetapi saham Australia menyusut dengan Korea Selatan pula turun dan naik. - DagangNews.com