KLCI dibuka tinggi tidak ‘hiraukan’ debaran Belanjawan 2021 | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka tinggi tidak ‘hiraukan’ debaran Belanjawan 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Walaupun penantian keputusan pengundian Belanjawan 2021 semakin mendebarkan, namun pasaran saham Malaysia menunjukkan prestasi sebaliknya apabila dibuka lebih tinggi hari ini. 

 

Setakat 9.02 pagi, KLCI mencecah paras 1,584.65 melonjak 6.26 mata atau 0.40% daripada paras yang ditutup semalam, 1,578.39. 

 

Parlimen pada hari ini dijangka mengundi untuk menentukan kelulusan Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 6 November lalu. 

 

tengku zafrul

 

Ketidaktentuan terus dirasai apabila Barisan Nasional (BN) yang sebahagian daripada blok Perikatan Nasional (PN) turut menuntut supaya belanjawan itu diubahsuai sekiranya mahu diluluskan. 

 

Bagaimanapun, sentimen pasaran untuk dibuka lebih tinggi hari ini mungkin lebih cenderung didorong oleh lonjakan semalaman di Wall Street. 

 

Lonjakan itu berlaku berikutan berita positif peralihan jawatan secara formal antara Joe Biden yang memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dengan Donald Trump setelah beberapa minggu berlanjutan. 

 

Selain itu, sentimen penemuan vaksin COVID-19 terus mempengaruhi pasaran tempatan dan global.

 

Rakuten Trade Research berkata, KLCI akan menunjukkan trend peningkatan hari ini selepas berprestasi ‘suram’ semalam. 

 

“DJI Average melonjak tinggi sehingga 455 mata untuk mencecah paras psikologi 30,000. Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau bakal melihat pergerakan positif hari ini selepas tidak menentu semalam. 

 

“Ura-ura tiada cukai baharu buat masa ini mungkin meningkatkan dagangan hari ini, maka bursa tempatan mungkin menyaksikan pembelian besar-besaran dengan indeks penanda aras bakal menguji paras 1,590, seterusnya paras 1,600.

 

“Bagaimanapun, minat yang berkurangan terhadap syarikat sarung tangan getah terbukti menjadi cabaran utama,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya hari ini.  - DagangNews.com