KLCI gagal kekal momentum, saham Genetec pula berakhir di kaunter rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI gagal kekal momentum, saham Genetec pula berakhir di kaunter rugi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Bursa tempatan gagal mengekalkan momentum dagangan dengan berakhir lemah buat hari kedua berturut-turut. 

 

Petang ini, indeks utama FBM KLCI susut 4.70 mata atau 0.3% kepada 1,582.19 mata setelah bergerak antara 1,581.52  hingga 1,593.57 mata. 

 

Keadaan ini disebabkan aktiviti pengambilan untung dalam kalangan pelabur secara berterusan, menurut Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim. 

 

"Sentimen pasaran turut dipengaruhi lonjakan jangkitan COVID-19 di rantau Asia," katanya.

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, saham Sime Darby Plantation Bhd. mendahului dagangan dengan susut 2.7% atau 11 sen kepada RM4 diikuti Kuala Lumpur Kepong Bhd. susut 14 sen kepada RM21.16.

 

Ini menjadikan indeks perladangan Bursa Malaysia merekodkan kerugian terbesar dalam kalangan indeks sektor dengan berakhir 1% lebih rendah.

 

Bagi kaunter aktif, menyaksikan saham Ho Wah Genting Bhd. mendahului dagangan menokok 3 sen kepada 33 sen dalam penutupan petang ini. 

 

Turut rancak diniagakan termasuklah TFP Solutions Bhd. naik 1 sen kepada 23 sen, Destini Bhd. naik 1.5 sen kepada 26 sen dan Dagang Nexchange Bhd. naik 0.05 sen kepada 73 sen. 

 

Sementara itu, kaunter untung didahului dengan saham Nestle (Malaysia) Bhd. menokok 40 sen kepada RM135.50. 

 

Ia diikuti dengan saham Hong Leong Bank Bhd. naik 24 sen kepada RM19.16 dan Fraser & Neave Holdings Bhd. naik 20 sen kepada RM27.86. 

 

Saham Genetec Technology Bhd. bagaimanapun mendahului kaunter rugi susut 94 sen kepada RM29.48 diikuti Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) susut 92 sen kepada RM44.08.

 

Secara keseluruhan, petang ini menyaksikan rugi mengatasi untung pada 574 berbanding 434 manakala 464 tidak berubah dan 746 tidak diniagakan. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.1580/1620 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) lebih rendah daripada RM4.1535/1550 pada penutupan petang semalam. - DagangNews.com