KLCI jatuh 0.62% selepas laporan wujud kerajaan baharu | DagangNews Skip to main content

KLCI jatuh 0.62% selepas laporan wujud kerajaan baharu

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Indeks pasaran saham Malaysia, KLCI jatuh sehingga 0.62% selepas tersebarnya laporan perubahan kerajaan ditambah ketidaktentuan lain termasuk pemulihan ekonomi global. 

Setakat 5 petang, KLCI jatuh 9.3 mata, ditutup pada 1496.48 dan diheret oleh kejatuhan Public bank Berhad, Malayan Banking Berhad dan Kumpulan CIMB Holdings Berhad. 

Baca : Pasaran saham jatuh kerana Anwar, dakwa Timbalan Menteri MOSTI

“Terdapat kebimbangan terhadap kemungkinan perubahan kerajaan, yang turut menjejaskan sentimen, kata Ketua Penyelidik Kenanga Investment, Koh Huat Soon seperti dipetik theedgemarkets. 

Tengah hari tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, jumlah sokongan daripada Ahli Parlimen itu tidak didedahkan.

Baca : Anwar dakwa miliki majoriti ambil alih kerajaan (TEKS KENYATAAN PENUH)

Tambahnya, beliau juga bakal mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, sepanjang aktiviti pelaburan hari ini, Bursa Malaysia menyaksikan 8.45 bilion saham didagangkan, bernilai RM4.33 bilion. 

Baca : PM umum pakej bantuan tambahan, tidak sentuh sepatah pun hal Anwar

Sebanyak 788 kaunter rugi dan 253 pula daripada kaunter untung. 

Kaunter rugi itu termasuk Kumpulan Hong Leong Financial Berhad, Petronas Dagangan Berhad dan Pharmaniaga Berhad, manakala Nestle (Malaysia) Berhad mengungguli kaunter untung. - DagangNews.com