Gambar Reuters
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Pasaran saham tempatan meneruskan kemerosotan pada petang semalam ekoran para pelabur masih berhati-hati terhadap kadar pemulihan ekonomi negara.
Indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut 2.75 mata kepada 1,576.14 ketika dibuka daripada paras tutup petang semalam, 1,578.89.
Pergerakan negatif pada pagi ini terutamanya disebabkan oleh saham-saham dalam sektor produk perindustrian, produk pengguna dan utiliti.
Rakuten Trade Research menjangkakan para pelabur berkemungkinan terus memburu saham murah hari ini seterusnya mengunjurkan FBM KLCI berlegar dalam julat 1,575 hingga 1,585.
“Bagi bursa tempatan, pengambilan untung secara besar-besaran menyaksikan FBM KLCI merudum di bawah paras 1,580, paras terendah dua minggu.
“Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar faedah mungkin merupakan permulaan untuk lonjakan kadar tersebut pada masa akan datang.
“Namun, kami percaya penilaian kekal sebagai tarikan utama untuk aliran masuk dana asing, oleh itu kami menjangkakan terdapat beberapa pemburuan saham murah hari ini dan mengunjurkan indeks itu berlegar dalam jajaran 1,575 hingga 1,585, hari ini,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.
Rata-rata mata pelabur tertancap kepada saham Dagang Nexchange Berhad (DNeX) yang memulakan dagangan di kaunter paling aktif dan paling rugi ekoran isu siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beberapa pegawai pengurusan anak syarikatnya, SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra).
Pagi ini, kumpulan menyaksikan harga sahamnya menyusut 30 sen kepada 70.5 sen ketika dibuka dengan 352,008 jumlah saham bertukar tangan ketika laporan ditulis.
Bagaimanapun, setakat 9.20 pagi, kaunter paling rugi didahului oleh saham Fraser & Neave Holdings Berhad yang dibuka 32 sen lebih rendah kepada RM27.20.
Ini diikuti oleh saham Sungei Bagan Rubber Company (Malaya) Berhad yang merosot 17 sen kepada RM4 setakat 9.21 pagi.
Beralih kepada kaunter paling rancak diniagakan, saham KNM Group Berhad masih mencuri perhatian pelabur, dibuka tidak berubah pada kadar 26 sen dengan 631,441 jumlah saham didagangkan.
Saham Y&G Corporation Berhad pula mencatatkan lonjakan terbesar setakat 9.23 pagi dengan peningkatan sebanyak 30 sen kepada RM1.73.
Secara keseluruhannya, walaupun FBM KLCI dibuka rendah, namun dagangan beraksi agak positif apabila jumlah kaunter untung iaitu 139 mengatasi jumlah kaunter rugi sebanyak 90. - DagangNews.com