KLCI kembali di paras 1,500 mata, saham Genetec pula bermula mantap | DagangNews Skip to main content

KLCI kembali di paras 1,500 mata, saham Genetec pula bermula mantap

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pasaran tempatan dibuka tinggi pagi ini meneruskan momentum sejak Isnin berikutan kelonggaran yang diberikan kepada penerima lengkap vaksin COVID-19 meningkatkan keyakinan kepada pembukaan ekonomi secara berperingkat. 

 

Indeks utama FBM KLCI setakat 9.29 pagi, menokok 7.10 mata atau 0.47% kepada 1,503.83 mata dengan 375 juta saham diniagakan bernilai RM179 juta. 

 

Keseluruhan pasaran juga positif dengan 274 kaunter untung mengatasi 199 rugi dan 296 kaunter tidak berubah. 

 

Dalam kalangan kaunter aktif, didahului dengan saham TFP Solutions Bhd. diniagakan pada 20 sen setelah menokok 0.05 sen. 

 

Ia diikuti saham TA Win Holdings Bhd. menokok 1 sen kepada 18 sen, Scope Industries Bhd. menokok 1 sen kepada 28.5 sen dan Avillion Bhd. naik 1 sen kepada 17 sen. 

 

Bagi kaunter untung pula, saham Genetec Technology Bhd. terus mendahului dagangan dengan 52,300 saham diniagakan.

 

Harga saham syarikat teknologi ini menokok 34 sen kepada RM25.74 pagi ini.

 

Saham Greatech Technology Bhd. juga antara mendahului kaunter untung dengan meningkat 11 sen kepada RM7.21 diikuti Press Metal Aluminimum Holdings Bhd. menokok 10 sen kepada RM5.04. 

 

Sebaliknya, saham MCOM Holdings Bhd. menerajui kaunter rugi dengan menyusut 11 sen kepada 0.05 sen. 

 

Selain itu, saham Cocoaland Holdings Bhd. juga susut 9 sen kepada RM1.81 dan Hong Leong Bank Bhd. susut 8 sen kepada RM18.14. 

 

Mengenai pasaran hari ini, Inter-Pacific Research berkata, indeks utama boleh kembali ke paras 1,500 mata meskipun keseluruhan pasaran masih dalam mood berhati-hati ekoran jangkitan harian COVID-19 yang masih tinggi dan persekitaran ekonomi yang lemah. 

 

"Ini didorong oleh langkah-langkah yang lebih longgar untuk ekonomi dan juga pasaran ekuiti luar negara yang positif. 

 

"Bagaimanapun, pengukuhan selanjutnya sukar untuk bertahan memandangkan penyertaan pasaran akan terus ketinggalan kerana kekurangan petunjuk positif," katanya dalam nota kajian.

 

Sementara itu, Bloomberg melaporkan, pasaran saham Asia dilihat menjejaki pasaran saham Amerika Syarikat (AS) yang tinggi memandangkan pelabur menilai kemampuan ekonomi untuk kekal dalam persekitaran kurang rangsangan dan peningkatkan wabak COVID-19. - DagangNews.com