Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Sept. - Pasaran saham tempatan nampaknya tidak mampu mengekalkan momentum untuk melepasi paras 1,600 pada penutupan petang ini yang terutamanya diheret turun oleh saham dalam sektor pengangkutan.
Petang ini, indeks utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI merudum 14.49 mata kepada 1,586.89 daripada penutupan dagangan Isnin, 1,601.38.
Sebagai rekod, kejayaan FBM KLCI untuk melepasi paras 1,600 pada penutupan Isnin merupakan lonjakan bulanan yang tertinggi sejak Julai 2009.
Secara keseluruhannya, dagangan ditutup dengan jumlah kaunter rugi mengatasi kaunter untung, pada perbandingan 562 daripada 510, dengan 427 kaunter tidak berubah dan 719 tidak didagangkan.
Penyusutan dalam indeks penanda aras utama petang ini seiring jangkaan yang dibuat oleh Rakuten Trade Research dalam nota kajiannya pagi ini, di mana mengunjurkan kemerosotan 10 mata (correction).
“Kami menjangkakan momentum (lonjakan) akan berterusan, seterusnya indeks itu dijangka berlegar lebih tinggi walaupun (kami) menjangkakan penyusutan 10 mata (mungkin berlaku),” jelas firma itu.
Saham Genetec Technology Berhad berakhir dengan kemerosotan terbesar, apabila ditutup 68 sen lebih rendah kepada RM30.42 dengan RM18.17 juta nilai saham yang bertukar tangan.
Turut berada dalam kalangan kaunter rugi adalah saham Hartalega Holdings Berhad yang berakhir 26 sen lebih rendah kepada RM7.12 dengan 71,126 saham bertukar tangan.
Ini diikuti oleh saham Hong Leong Bank Berhad, Fraser & Neave Holdings Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Batu Kawan Berhad.
Saham Malaysian Pacific Industries Berhad yang memulakan dagangan pagi di kaunter paling rugi berakhir di kaunter paling untung, dengan lonjakan 98 sen kepada RM45 apabila ditutup.
Saham Kotra Industries Berhad pula menyaksikan peningkatan kedua terbesar petang ini, ditutup 73 sen lebih tinggi kepada RM3.18 dengan 15,256 dagangan saham bertukar tangan.
Beralih kepada kaunter paling rancak diniagakan, KNM Group Berhad berakhir 2.5 sen lebih tinggi kepada 28 sen dengan 3.22 juta saham yang bertukar tangan.
Turut menjadi tumpuan pelabur adalah saham Borneo Oil Berhad yang melonjak 0.05 sen kepada 3.5 sen ketika ditutup, dengan 3.2 juta dagangan saham bertukar tangan. - DagangNews.com