KLCI lemah, ringgit mengukuh | DagangNews Skip to main content

KLCI lemah, ringgit mengukuh

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Pelaksanaan semua perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 mempengaruhi sentimen pasaran dalam dagangan hari ini.

 

Pada masa sama, indeks utama FBM KLCI turut diheret turun kaunter berkaitan pengeluar sarung tangan getah.

 

Ia menyaksikan pasaran tempatan ditutup rendah petang ini dengan FBM KLCI susut 12.58 mata kepada 1,575.67 mata. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 811 berbanding 298 manakala 416 kaunter tidak berubah.

 

Saham Top Glove susut 2.39% kepada RM5.32 berikutan hampir 4 juta sarung tangan getah nitril pakai buang yang dihasilkannya dirampas oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) di Cleveland.

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.1170/1220 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.1200/1260. 

 

Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, Bursa Malaysia dijangka kekal lemah berikutan peningkatan semula kes COVID-19 yang menyebabkan PKP dikuatkuasakan membabitkan 6 daerah di Selangor.

 

“Sementara itu, sektor teknologi akan menyaksikan penurunan berikutan penyusutan semalaman Nasdaq di  Wall Street," katanya dalam nota kajian. 

 

Semalam, kerajaan mengumumkan pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan iaitu di Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang yang dikenakan PKP bermula 6 Mei sehingga 17 Mei akibat lonjakan kes baharu COVID-19 di kawasan berkenaan.

 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti sosial tidak dibenarkan, namun kebanyakan aktiviti ekonomi tidak akan terjejas. - DagangNews.com