KUALA LUMPUR 29 Sept. - Indeks pasaran saham Malaysia, KLCI dibuka tinggi mengikuti trend menaik di pasaran Asia.
Setakat 9.04 pagi, KLCI melonjak 5.45 mata atau 0.36%, mencecah paras 1,517.11.
Rakuten Trade Research menjangkakan KLCI akan terus meningkat kerana kepentingan saham berkaitan pandemik COVID-19 terus memperoleh minat membeli.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu akan memecah paras 1,520 hari ini dengan harapan dapat keluar daripada mod perolehan paras harga yang terhad (consolidation),” jelas Rakuten Trade dalam laporan pasaran hariannya.
Didorong oleh pembelian saham yang luas, Rakuten Trade menjangkakan pasaran serantau akan mengekalkan aliran menaik hari ini.
Pasaran saham Asia dibuka dengan peluang keuntungan yang terhad ketika penyesuaian portfolio pada akhir bulan.
Menurut Bloomberg, saham di Jepun merudum, tetapi melonjak di Australia dan Korea Selatan.
Niaga hadapan S&P 500 pula meningkat lebih tinggi.
Institusi perbankan mendorong indeks S&P 500 untuk meraih keuntungan lebih besar dalam tempoh dua minggu.
Ini berikutan pelabur menemui peluang untuk membeli selepas mencecah paras terendahnya pada minggu lalu, sejak Julai.
Dalam pada itu, HSBC Holdings Plc pula meningkat hampir 9% selepas pemegang saham terbesarnya menaikkan sahamnya, sementara indeks pemberi pinjaman meningkat paling banyak selama sebulan.
Pasaran saham di Eropah pula paling banyak melonjak dalam tempoh tiga bulan.
Memandangkan rundingan pakej rangsangan fiskal Amerika Syarikat (AS) masih berterusan, para pelabur kekal berhati-hati menjelang pilihan raya pada November depan.
Pasaran AS juga menunggu perdebatan presiden pertama hari ini serta laporan pekerjaan pada Jumaat untuk mengukur bagaimana ekonomi terbesar dunia itu beralih melalui pandemik COVID-19.
“Kita sudah tentunya memerlukan pakej rangsangan lain, bukan hanya untuk keyakinan rakyat dan pekerja AS, malah untuk pasaran,” kata Presiden dan Pemilik Portia Capital Management, Michelle Connell kepada Bloomberg Television. - DagangNews.com