Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Jan. - Kelihatannya sukar untuk indeks pasaran saham tempatan untuk melonjak lebih tinggi sekali gus melepasi paras rintangan 1,600 dengan selesa susulan tiada pemangkin sentimen yang lebih baik.
Pelabur asing yang terus menjual ekuiti Malaysia menyebabkan FBM KLCI hanya mampu untuk melonjak dalam julat yang terhad.
Ketika dibuka pada 9 pagi ini, FBM KLCI melonjak 9.75 mata kepada 1,585.06 daripada paras yang ditutup semalam,1,575.31.
Memandangkan pasaran saham kini menjadi tidak menentu, Rakuten Trade Research meramalkan dagangan hari ini kekal lemah dan FBM KLCI mungkin didagangkan dalam julat kecil antara 1,570 hingga 1,580.
“Di pasaran tempatan, FBM KLCI sekali lagi jatuh pada sesi terakhir mungkin disebabkan oleh tekanan penjualan daripada dana asing.
“Indeks penanda aras yang berjaya mencecah 1,610 pada awalnya itu, mengakhiri dagangan pada paras 1,575 susulan aktiviti pengambilan keuntungan dari saham sarung tangan,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajian pasarannya.
Selama dua hari berturut-turut FBM KLCI dibuka di bawah paras rintangan 1,600 susulan pemangkin yang kian pudar.
Dalam pada itu, Rakuten Trade berkata, perlu diperhatikan bahawa aktiviti pembinaan masih berjalan dengan kedua-dua Advancecon Holdings Berhad dan Gabungan AQRS Berhad mendapatkan kontrak baharu.
Di pasaran saham global, ekuiti Amerika Syarikat (AS) mendatar memandangkan para pelabur mula bimbang terhadap perolehan korporat terutamanya daripada syarikat besar sepanjang beberapa hari kebelakangan ini.
“DJI Average yang melonjak 150 mata ketika dibuka ditutup 23 mata lebih rendah sekitar paras 30,937.
“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau kekal ‘suram’ hari ini kerana tiada pemangkin yang jelas,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com