Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Mac - Pasaran saham tempatan menunjukkan lonjakan yang kecil pada hari pertama untuk minggu terakhir bagi Mac 2021, dipacu oleh saham-saham dalam kaunter hartanah dan teknologi.
Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 2.17 mata daripada paras yang ditutup pada Jumaat lalu, 1,601.42 kepada 1,603.59.
Dagangan pada pagi ini menyaksikan sebanyak 269 kaunter untung mengatasi 72 kaunter rugi.
Antara kaunter yang melonjak adalah Malaysian Pacific Industries Berhad, KESM Industries Berhad, ViTrox Corporation Berhad, PPB Group Berhad, Heineken Malaysia Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Mr DIY Group (M) Berhad, Solution Group Berhad, Hengyuan Refining Company Berhad, Prolexus Berhad dan Genetec Technology Berhad.
Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan terus didagangkan dalam julat terhad berikutan perkembangan yang tidak memberangsangkan daripada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dianjurkan selama dua hari, pada hujung minggu lalu.
“Di peringkat pasaran tempatan, kami menjangkakan FBM KLIC akan kekal dalam mod penyatuan (consolidation) memandangkan PAU belum dapat menangani isu ketidaktentuan terhadap landskap politik.
“Oleh itu, indeks berkenaan dijangka didagangkan antara julat 1,595 hingga 1,605, hari ini.
“Namun, kami menjangkakan indeks itu akan kekal di bawah paras 1,600 pada hari ini,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya.
Di peringkat antarabangsa, ekuiti-ekuiti Amerika Syarikat (AS) melonjak didorong oleh harapan pembukaan semula ekonomi dengan lebih cepat memandangkan para pelabur mula membeli saham yang dijangka pulih semula.
“Maka, Dow Jones Industrial Average melompat 450 mata untuk melepasi paras 33,000, sementara S&P 500 melonjak 1.7% untuk menghampiri paras 4,000.
“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan kekal dengan trend peningkatannya pada hari ini ekoran penutupan yang kukuh pada Jumaat lalu,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com