KUALA LUMPUR 23 April - Pasaran tempatan mengakhiri dagangan minggu ini dengan 0.7 mata lebih tinggi kepada 1,608.43 mata.
Jumlah dagangan sebanyak 6.55 bilion bernilai RM4.19 bilion, lebih rendah berbanding semalam sebanyak 7.90 bilion saham diniagakan bernilai RM4.98 bilion.
Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 574 berbanding 478 manakala 454 kaunter tidak berubah.
Malacca Securities dalam nota kajian berkata, walaupun pelabur mungkin menumpukan saham dengan prospek meraih pulangan lebih tinggi, pasaransebaliknya kekal bimbang berikutan peningkatan kes jangkitan virus itu selain kelemahan prestasi pasaran saham AS.
Malah, saham-saham tersebut rendah apabila Indeks Dow Jones susut 0.9% selepas Presiden AS Joe Biden mencadangkan supaya cukai pulangan modal dinaikkan sekali ganda bagi mereka yang berpendapatan AS$1 juta dan ke atas.
Sementara itu, menurut Reuters, kebanyakan pasaran ekuiti di Asia adalah lemah pada Jumaat ekoran peningkatan kes jangkitan COVID-19 terutama di India dan Thailand mengurangkan selera risiko.
Dalam masa sama, laporan mengenai kenaikan cukai pulangan modal di AS juga menjejaskan sentimen.
Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Mac meningkat 1.7% berbanding tahun sebelumnya, melepasi 1.4% unjuran pertumbuhan tahunan yang dijalankan oleh kaji selidik Reuters.
Menurut penganalisis di Mizuho, dari perspektif dasar monetari, kenaikan inflasi utama bukan sesuatu yang mengejutkan kepada kerajaan (merujuk kepada Singapura dan Malaysia).
Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.1070/1105 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, pada RM4.1105/1145. - DagangNews.com