KLCI, ringgit jatuh akibat memuncaknya kemelut politik | DagangNews Skip to main content

KLCI, ringgit jatuh akibat memuncaknya kemelut politik

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Bursa tempatan bermula lemah terutama dengan laporan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri hari ini. 

 

Setakat 9.35 pagi ini, indeks utama FBM KLCI merosot 8.36 mata atau 0.56% kepada 1,496.75 mata dengan 679.77 juta saham diniagakan bernilai RM279.83 juta. 

 

Malacca Securities Research berkata, sentimen pelabur meningkat sedikit apabila kerajaan membenarkan sektor tidak penting beroperasi mulai hari ini di negeri fasa pertama. 

 

"Bagaimanapun, kemelut politik dilihat akan membataskan kenaikan dalam pasaran saham dalam tempoh terdekat," katanya dalam nota kajian. 

 

Sementara itu, Reuters melaporkan terdapat ketidaktentuan mengenai kemungkinan kesan terhadap geopolitik di rantau Asia berikutan jatuhnya kerajaan Afghanistan. 

 

Bagi dagangan tempatan pagi ini, kaunter rugi mengatasi untung pada 569 berbanding 74 manakala 254 kaunter tidak berubah.

 

Saham aktif menyaksikan Avillion Bhd. mendahului dagangan dengan diniagakan pada 26.5 sen setelah menokok 7.5 sen. 

 

Ia diikuti dengan Advance Synergy Bhd. menokok 1 sen kepada 18 sen dan Tanco Holdings Bhd. naik 0.05 sen kepada 22 sen. 

 

Kaunter untung pula didahului dengan saham Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) menokok 52 sen kepada RM44.50. 

 

Saham Perusahaan Sadur Timah Malaysia (Perstima) Bhd. juga diniagakan tinggi pada RM3.96 setelah meningkat 13 sen diikuti Greatech Technology Bhd. menokok 10 sen kepada RM7.25. 

 

Sebaliknya, saham Kuala Lumpur Kepong (KLK) Bhd. mendahului kaunter rugi susut 56 sen kepada RM19.62 diikuti Genetec Technology Bhd. susut 38 sen kepada RM26.88. 

 

Dalam pada itu, Reuters melaporkan ringgit yang diniagakan pada RM4.2410 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), adalah paras terendah sejak Julai 2020 ekoran kemelut politik yang semakin memuncak.

 

Pada Jumaat, mata wang itu ditutup pada RM4.2365/2385 berbanding dolar AS. - DagangNews.com