KLCI, ringgit melonjak lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

KLCI, ringgit melonjak lebih tinggi

 

 


KUALA LUMPUR 26 April - Pasaran tempatan mengakhiri dagangan hari ini dengan lebih tinggi apabila indeks utama ditutup pada 1,623.47 mata setelah menokok 15.04 mata. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 8.13 bilion bernilai RM5.59 bilion, lebih tinggi daripada Jumaat dengan 6.55 bilion saham diniagakan bernilai RM4.19 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 577 berbanding 560 manakala 550 kaunter tidak berubah. 

 

TA Securities Holdings Bhd. dalam nota kajian berkata, kaunter berkaitan sarung tangan getah, penjagaan kesihatan dan teknologi akan terus mengungguli pasaran yang lebih luas berikutan meningkatnya keyakinan terhadap permintaan memandangkan jangkitan COVID-19 semakin meningkat di seluruh dunia. 

 

Hari ini, jangkitan kes baharu di negara ini meningkat kepada 2,776 kes daripada 2,690 menjadikan keseluruhan kes setakat ini berjumlah 395,718. 

 

Bagi Malacca Securities, pasaran minggu ini mungkin memberi tumpuan kepada keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS bagi mendapatkan arah tuju pelaburan seterusnya.

 

"Kami menjangkakan minat belian untuk saham sarung tangan akan berterusan sehingga musim pengumuman keputusan kewangan memandangkan terdapatnya kepastian untuk mencatatkan pendapatan tinggi dalam sektor ini terutama ketika situasi peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia," katanya.

 

Sementara itu, menurut Reuters, kekuatan semalaman Wall Street telah menjadi penunjuk kepada peningkatan ekuiti yang lebih luas di pasaran Asia Tenggara.

 

Mata wang Asia juga mengukuh pada Isnin apabila dolar AS melemah ekoran jangkaan tindakan Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan dasar monetari yang akomodatif dalam mesyuaratnya akhir minggu ini.

 

Dolar AS merosot ke paras 2 bulan terendah di tengah-tengah spekulasi bahawa Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell akan menolak rundingan pembelian bon dalam mesyuarat dasar pada Rabu.

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0990/1030, lebih tinggi berbanding dolar AS, daripada penutupan Jumaat pada RM4.1080/1130. - DagangNews.com