KLCI semakin positif, pelabur tumpu saham berkaitan pemulihan ekonomi | DagangNews Skip to main content

KLCI semakin positif, pelabur tumpu saham berkaitan pemulihan ekonomi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Bursa tempatan terus diniagakan tinggi dalam dagangan pagi ini setelah hala tuju pentadbiran negara dilihat kembali berada dalam landasannya manakala kes harian COVID-19 pula semakin menurun.

 

Setakat 9.19 pagi, indeks utama FBM KLCI menokok 2.78 mata atau 0.18% kepada 1,525.21 mata dengan 87.5 juta saham diniagakan bernilai RM35.15 juta.

 

Malacca Securities Research berkata, kes jangkitan harian COVID-19 yang semakin menurun akan mendorong pelabur memberi tumpuan kepada saham-saham berkaitan pemulihan setelah Perdana Menteri baharu dilantik.

 

Pada masa sama, katanya, sentimen pasaran tempatan juga disokong oleh keyakinan yang semakin meningkat di tengah-tengah musim laporan kewangan korporat.

 

"Kami percaya minat belian akan tertumpu kepada saham seperti kepenggunaan, pengangkutan dan logistik, penerbangan dan juga pelancongan.

 

"Di samping itu, saham teknologi mungkin akan meraih daya tarikan berikutan prestasi semalaman Wall Street yang kukuh," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurutnya, dagangan mungkin bergerak ke paras rintangan sekitar 1,540 mata manakala paras sokongan berlegar pada 1,500 mata.

 

Keseluruhan pasaran ini bergerak dalam mood positif dengan 196 kaunter untung manakala 69 rugi. Sebanyak 224 kaunter pula tidak berubah dan 1,729 tidak diniagakan.

 

Dalam kalangan kaunter aktif, saham T7 Global Bhd. mendahului dagangan dengan menokok 1 sen kepada 35.5 sen. 

 

Turut diniagakan aktif termasuklah saham D'Nonce Technology Bhd., Advance Synergy Bhd., Dagang Nexchange Bhd. (DNeX), MMAG Holdings Bhd. dan MY E.G Services Bhd. 

 

Bagi kaunter untung pula, saham Malaysia Pacific Industries Bhd. (MPI) diniagakan 66 sen lebih tinggi kepada RM44.80. 

 

Ini diikuti dengan Petronas Dagangan Bhd. naik 38 sen kepada RM19.18 dan Sam Engineering & Equipment (M) Bhd. turut meningkat 32 sen kepada RM13.44. 

 

Sebaliknya, saham Petronas Gas Bhd. mendahului kaunter rugi susut 16 sen kepada RM15.84 diikuti Jerasia Capital Bhd. susut 6 sen kepada 22.5 sen.

 

Selain itu, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) juga diniagakan rendah susut 5 sen kepada RM6.050. - DagangNews.com