KLCI susut 0.20% selepas saham teknologi AS merudum | DagangNews Skip to main content

KLCI susut 0.20% selepas saham teknologi AS merudum

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Pasaran saham Malaysia menyaksikan sedikit penurunan selepas ditutup lebih 50 mata semalam, didorong penjualan saham teknologi di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, para pelabur masih meletakkan harapan terhadap perkembangan vaksin COVID-19 yang menjadi sentimen positif kepada pasaran serantau. 

Setakat 9.01 pagi, KLCI menurun kepada paras 1571.86, merosot sebanyak 3.21 mata atau 0.20% daripada paras ditutup semalam, 1,575.07.

Rakuten Trade Research berkata, para pelabur dijangka terus memburu ekuiti yang mempunyai nilai ketika ini dengan mengorbankan saham berkaitan COVID-19 seperti kaunter sarung tangan. 

“Oleh itu kami menjangkakan KLCI didagangkan antara 1,560 hingga 1,580 hari ini,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya. 

Semalam, pasaran di Bursa Malaysia menyaksikan para pelabur ‘membeli-belah’ saham Air Asia Berhad dan Genting Malaysia Berhad selepas wujudnya sentimen vaksin COVID-19 dengan harapan kedua-dua kumpulan syarikat itu dapat beroperasi seperti biasa. 

Menurut Trading Economics, pasaran saham Asia melonjak selepas vaksin COVID-19 yang diuji 90% berkesan mencetuskan harapan pemulihan ekonomi global lebih pantas daripada jangkaan. 

Perkembangan itu sekali gus mendorong pelabur untuk beralih daripada saham berkaitan teknologi kepada kitaran saham yang sensitif terhadap ekonomi. 

Bloomberg melaporkan, ekuiti di Jepun dan Australia meningkat lebih 1%. 

Sementara itu, niaga hadapan S&P 500 menyusut lebih rendah dengan Nasdaq 100 ditutup hampir 2% lebih rendah. - DagangNews.com