Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Pasaran ekuiti tempatan dibuka rendah sedikit pada awal dagangan pagi ini didorong oleh aktiviti penjualan di Wall Street.
Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut 0.57 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,581.54 kepada 1,580.97.
Namun, setelah 14 minit didagangkan, FBM KLCI kembali melantun kepada 1,584.50, menjadikan mata lonjakan keseluruhan mencecah 2.96 mata.
Setakat 9.34 pagi, FBM KLCI menyaksikan kaunter rugi sebanyak 637 mengatasi kaunter untung, 183.
Pagi ini menyaksikan saham-saham perkhidmatan kewangan yang menjadi penggerak kepada lonjakan FBM KLCI.
Rakuten Trade Research menjangkakan dagangan hari ini hanya mendatar, seiring pasaran serantau.
“FBM KLCI akhirnya berjaya ditutup lebih tinggi kerana tiada penjualan lewat.
“Namun, kami menjangkakan prestasi dagangan akan mendatar hari ini sejajar dengan pasaran serantau. Oleh itu, kami percaya indeks penanda aras akan didagangkan dalam jajaran 1,580/85 hari ini.
“Sektor perladangan kekal tidak dihiraukan oleh para pelabur walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) sekali lagi mencecah RM4,000 setiap tan metrik, tetapi kami meramalkan ini akan berubah tidak lama lagi,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya.
Di peringkat global, kebimbangan terhadap kadar lebih tinggi kembali ‘menghantui’ pelabur apabila kadar hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) selama 10 tahun menjangkaui 1.6%, menyebabkan penjualan di Wall Street.
“Dow Jones Industrial Average hilang 560 mata untuk ditutup pada paras 31,400, manakala Nasdaq menanggung beban penjualan merosot, lebih dari 3%, hanya melebihi tahap 13,100,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com