Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 April - Pasaran saham tempatan yang meraih lonjakan tujuh mata semalam tidak mampu meneruskan momentum tersebut apabila kembali menyusut dalam dagangan pagi ini.
Setakat 9.07 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut 3.23 mata atau 0.20% daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,607.57 kepada 1,604.34.
Dagangan pada pagi ini juga berprestasi negatif apabila jumlah kaunter rugi iaitu 277 mengatasi kaunter untung, 199.
Rakuten Trade Research meragui sama ada pembelian lewat yang melonjakkan FBM KLCI semalam akan meneruskan momentum pada hari ini.
“Di peringkat pasaran tempatan, pembelian lewat membantu dalam melonjakkan FBM KLCI melepasi paras 1,605 daripada pembelian secara meluas.
“Bagaimanapun, kami meragui sekiranya pembelian itu akan bertahan, oleh itu indeks berkenaan dijangka kekal tersekat dalam julat kecil antara 1,600 hingga 1,610 hari ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. - DagangNews.com